Sinonimnya hari raya Aidil Fitri sering dikaitkan dengan kegembiraan dan kesyahduan. Mana tidaknya, yang jauh merantau mula pulang ke desa, yang sibuk bekerja mengambil peluang melapangkan masa, semuanya keriangan bertemu sanak-saudara.
Dalam hidup ini, setiap perkara ada timbang-taranya. Fisiologi manusia yang sihat itu sendiri terdiri daripada mekanisma homeostasis yang sentiasa mengimbangi antara tindakbalas positif (positive feedback) dan tindakbalas negative (negative feedback).
Andai keseimbangan ini terganggu, nescaya manusia itu akan terjejas kesihatannya. Ramai manusia mudah alpa ketika berada dalam kegembiraan, manakala ramai pula yang akan berwaspada ketika dalam kesusahan. Keseronokan sentiasa memperdaya.
Pada tahun ini, JAKSI ingin mengajak semua ahli PERUBATAN untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri kali ini sebagai satu sambutan hari ‘kembali kepada fitrah’.
Fitrah manusia inginkan hiburan, dan Islam memang menggalakkan umatnya untuk berhibur, Melalui hiburan, hati menjadi tenang, hidup bertambah ceria, ibadah bertambah kuat. Namun semestinya hiburan yang dimaksudkan itu adalah hiburan yang terkandung dalam ruang lingkup syariat, yang manfaatnya ada keburukannya tiada.
Golongan mahasiswa merupakan satu entiti yang sentiasa mencari hiburan mungkin kerana tekanan pelajaran dan mungkin juga faktor umur yang dikatakan sedang berada pada waktu puncak. Melayari internet, keluar bersiar-siar, membeli-belah, bersukan, meluangkan masa dengan aplikasi-aplikasi sosial, bermain permainan video, menonton filem dan berkomunikasi menggunakan peranti mudah alih sudah menjadi trend mahasiswa masa kini dalam mencari hiburan. Persoalaannya; sejauh manakah kita berhibur?
Masalah seringkali berlaku apabila fisiologi hiburan itu tidak diseimbangkan homeostasisnya. Ikhtilat antara lelaki dan wanita yang tidak terjaga, masa yang seringkali terbuang begitu sahaja, fitnah berleluasa di laman sosial, duit dihabiskan berfoya-foya, pandangan yang tidak terjaga, semuanya menambahkan dosa percuma. Sebagai seorang yang terpelajar, kita seharusnya sedar akan perkara ini semua.
Siapa pemenang pingat emas ketaqwaan? |
Buat sekalian warga PERUBATAN, sebulan kita berpuasa di bulan ramadhan yang lalu mentarbiyah kita dalam mendisiplinkan diri dan menundukkan nafsu dan kehendak diri. Fitrah manusia inginkan perkara yang indah-indah, batasilah dengan syariat moga mendapat barakah.
"Ayuh kembali kepada fitrah."
JAKSI PERUBATAN PUSAT 2012
0 comments: