• We are GEN11US !!

    GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

    Once a GEN11US, always a GEN11US

Showing posts with label BPI. Show all posts

HADITH #28

in

Pengajaran Hadith:

  •          Bertaqwa kpd Allah. (taqwa: melaksanakan semua perintah Allah, menjauhi
  •      larangannya, menjaga diri dari murka Allah SWT)
  •     Taat kepada pemerintah selagi selari dengan al-Quran & Sunnah
  •     Apabila berlaku perselisihan, haruslah berbalik kepada Quran dan Sunnah.
  •     Berhati-hati dalam melakukan amalan supaya tidak terjebak dalam amalan-amalan                     khurafat, syirik dan sesat.
  •     Mendorong kita meninggalkan wasiat jika hendak meninggalkan keluarga atau rakan.


Rasulullah SAW telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan air mata. Kami berkata: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, necaya dia akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah khulafa’ Rasyidin yang mendapat hidayat. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu dalam neraka.

I’m sure almost everyone has heard of:

 وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ، وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّار” 

Ayat yg selalu overused, misused, misunderstood.


Apakah itu Bid’ah?

Bid’ah ialah sesuatu yg diada-adakan di dalam agama dan perkara yg tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw (Maka tidak termasuk bid’ah sesuatu yang diadakan di luar agama untuk kemaslahatan dunia).
Berkata Imam Syafii bahawa bid’ah terbahagi kepada dua, iaitu bid’ah mahmudah (terpuji) dan bid’ah madzmumah (tercela), maka yg sejalan dengan sunnah maka ia terpuji, dan yg tidak selaras dengan sunnah adalah tercela. Beliau berdalil dengan ucapan Umar bin Khattab ra mengenai solat tarawih : “Inilah sebaik baik bid’ah.


https://www.youtube.com/watch?v=oWhuiEKUkrs

HADITH #27 : KEBAIKAN DAN DOSA | FATWA HATI

in




Tok khadim datang lagi nak cerita Hadith 27. Ada huraian berserta wasiat dari Nabi Adam. Kalau mahu tahu, teruskan membaca biar sama- sama dapat ilmu di dada.

عَنْ النَّوَّاسِ بنِ سَمْعَانَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عليه وسلم قَالَ : الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَاْلإِثْمُ مَا حَاكَ فِي نَفْسِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ. [رَوَاهُ مُسْلِم] .
وَعَنْ وَابِصَةَ بْنِ مَعْبَد رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : أَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : جِئْتَ تَسْألُ عَنِ الْبِرِّ قُلْتُ : نَعَمْ، قَالَ : اِسْتَفْتِ قَلْبَكَ، الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ، وَاْلإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ، وَإِنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ وَأَفْتَوْكَ [حديث حسن رويناه في مسندي الإمامين أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن]
Terjemah hadith / ترجمة الحديث :
Dari Nawwas bin Sam’an radhiallahuanhu, dari Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam beliau bersabda: “Kebaikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah apa yang terasa menganggu jiwamu dan engkau tidak suka jika diketahui manusia “ Riwayat Muslim.
Dan dari Wabishah bin Ma’bad radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu beliau bersabda: Engkau datang untuk menanyakan kebaikan? Saya menjawab: Ya. Beliau bersabda: Mintalah pendapat dari hatimu, kebaikan adalah apa yang jiwa dan hati tenang kerananya, dan dosa adalah apa yang terasa mengganggu jiwa dan menimbulkan keragu-raguan dalam dada, meskipun orang-orang memberi fatwa kepadamu dan mereka membenarkannya. (Hadits hasan kami riwayatkan dari dua musnad Imam Ahmad bin Hanbal dan Ad Darimi dengan sanad yang hasan).
 HURAIAN;
1) Kebaikan atau kebajikan :
- Perkara yang hati seorang mukmin merasa tenang dan tenteram.
2) Kejahatan atau dosa :
- Apa- apa yang hatinya merasa keluh kesah, gementar dan merasa takut jika diketahui manusia.
3) Melalui firasat hatinya, seorang mukmin boleh menilai baik buruknya sesuatu perkara. Walau apa pon pandangan orang terhadapnya, dia lebih berhak ke atas pendiriannya berdasarkan iman dan firasatnya.
4) Namun, perasaan dan firasatnya tidak boleh bertukar menjadi hukum syara' atau fatwa yang memestikan orang lain mengikutinya, ia hanya tertakluk pada dirinya sahaja.
5) Kebaikan dan kebajikan atau keburukan yang diberikan kelonggaran untuk kita meminta fatwa ialah kebajikan yang masih kesamaran contohnya, solat di akhir waktu, mengisi masa lapang dengan perkara yang tidak berfaedah, bersendirian dengan yang bukan mahram di tempat yang sunyi dan sebagainya.
6) Adapun, kebaikan atau keburukan yang sudah ada nas yang jelas seperti solat 5 waktu walau hati kadang berat melakukannyanya mahupun riba' walau jiwa merasa seronok melaziminya, maka hendaklah diikuti meskipun fatwa hati bertentangan dengannya.
7) Perasaan hati hanya boleh diguna pakai apabila sesuatu itu selari dengan kaedah hukum syara' dan selagimana tidak bertentangan dengan hukum agama.
8) Melihat terlebih dahulu ketetapan hukum sebelum mengambil tindakan. Ambillah yang paling dekat dengan ketakwaan dan kewara’an dalam agama.
9) Ilham dan Kasyaf tidak boleh dijadikan dalil kepada hukum-hukum syariat.
" Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah adalah cahaya dan kemanisan yang dicurahkan Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki-Nya. Manakala ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi tidak menjadi dalil kepada hukum-hukum syariat. Perkara-perkara tersebut hanya dapat diterima dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum dan nas syariat. "
( Pak Hassan , Usul Ketiga)
💡 WASIAT NABI ADAM AS:
1) Jika kamu hendak berbuat sesuatu, tetapi hati kamu merasa GELISAH kerananya, maka JANGANlah kamu TERUSkan.
- Sewaktu aku hendak memakan buah khuldi, hatiku telah bergoncang dan gelisah.
2) Jika kamu hendak mengerjakan sesuatu perkata, lihatlah KESUDAHANnya.
- Kalau aku lihat atau fikirkan tentang jesudahan akibat memakan buah tersebut, tentulah aku tidak memakannya.
3) Jika kamu hendak melakukan sesuatu perkara, maka BERUNDINGlah dengan ORANG yang ARIF.
- Kalau aku dahulunya berunding dengan malaikat, tentu diberitahu kepada aku supaya aku tidak memakan buah yang terlarang itu.
| Menurut riwayat dalam Syarah Al- Arbain Al- Nawawiyah
.........................................................................
Konklusinya, fatwa hati bisa dijadikan pendirian pada benda yang ada kesamaran. Jika merasa tenang pada mengerjakan satu perkara, teruskan. Jika merasa resah, berpalinglah. Mungkin itu petanda dari Tuhan, agar sentiasa berada di jalan-Nya.
Fastabiqul khairat!


HADITH #26: SEDEKAH

in








(1) Seperti hadis 25, hadis ini menerangkan bahawa setiap amal perbuatan mukmin walaupun kadangkadang dianggap biasa atau sedikit, akan mendapat pahala sedekah.
(2) Seorang mukmin boleh mendapat pahala sedekah hasil setiap pergerakan anggota tubuh badannya. Tangannya, kakinya, mulutnya dan akalnya berhak mendapat pahala sedekah apabila melakukan amal kebajikan.
(3) Ruang untuk mendapatkan pahala dalam lslam amat luas dan tidak hanya terbatas kepada amal ibadat khusus semata-mata, sehingga kadang-kadang tidak disangka bahawa sesuatu perbuatan yang dianggap biasa menjadi ibadat dan diberikan pahala.

HADITH #25 : PELUANG-PELUANG KEBAIKAN

in


Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan): Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka." Baginda bersabda: "Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah." Mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala?" Baginda bersabda: "Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala."
        
(Riwayat Ahmad no. 21483 dan Muslim no. 1006)

Macam-macam iktibar.

Telah pun genap tiga minggu tempoh perkenalan Akira Toriyameem, 10, dengan teman sepengajiannya, Rusdi Ramlan, 11. Macam-macam hal sudah berlaku. Cerita suka yang semacam duka, cerita pelik jika diteliti terlalu lama. Ini cerita orang-orang lama, cerita tahun 1988. Zaman telefon belum cukup ‘pintar’ untuk menenggelamkan hikmah berinteraksi sesama rakan sebelah. Kisah mereka bermula di sebuah sekolah rendah yang koodinasinya betul-betul letaknya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur (tidak perlu dicari dalam peta). Dua minggu yang pertama, duduklah mereka dalam kelas 5 Dahlia, kelas pertengahan, meja sebelah-menyebelah tetapi tidak rapat sisi mejanya kerana belum benar-benar kenal, mudah kata belum boleh bertepuk tampar antara keduanya. Maka tidak banyak cerpen yang mampu terhasil daripada pengkisahan perkenalan mereka berdua dalam tempoh sesingkat itu.

Akira Toriyameem, lebih mesra dipanggil Meem, berbaka jepun daripada sebelah ibunya, baru pindah dari negeri asalnya ke tanah kelahiran ayahnya. Rusdi Ramlan pula sememangnya murid asal sekolah itu, terkenal dengan nama timangan Lan Tasik Banding, nisbah kepada tempat lahirnya. Hebat ibunya, natural birth dalam tasik terus. Lan lahir dalam keluarga kurang senang, jauh bezanya dengan Meem, kaya tahap diraja.

Masuk sahaja minggu ketiga persekolahan, keadaan mula berubah secara drastik. Hari demi hari jurang persahabatan antara mereka semakin nipis, semakin rapat. Lan sudah boleh terlupa pulangkan lima ringgit (tinggi nilai kuasa belinya pada zaman itu) yang dipinjamkan Meem kepadanya. Meem pula sudah boleh bergurau letak gam pada permukaan kerusi Lan sejurus sebelum waktu rehat berakhir. Maksudnya sudah lain nilai persahabatan mereka. Maka berlakulah beberapa babak berinspirasi tinggi sehinggakan kira-kira lapan buah cerpen berbentuk dialog mampu terhasil daripada kisah mereka. Tiga sahaja babak yang akan dipetik kali ini.

BABAK SATU : PERLUMBAAN DALAM BERSAHABAT

Dijadikan cerita bahawa pada minggu itu berlangsungnya hari sukan. Hari yang sangat penting kerana sistem pada ketika itu agak ketat dalam bab kesukanan membuktikan sekolah mereka itu sekolah sukan yang berprestij tinggi. Barangsiapa yang tidak cukup cerdas akan dibuang sekolah. Lan sendiri masuk ke sekolah itu menggunakan kuota biasiswa khas sukan murid-murid negeri Perak, Meem pula masuk guna ‘jalan belakang’ kawan ayah dia laluan pejabat tingkat 6 bangunan kementerian belia dan sukan.

Tiba pada acara kemuncak hari itu, acara Golek Gelung Rotan 50 Meter Selepas Menyusun Abjad ‘A-J’. para peserta perlu menyusun abjad ‘A’ sehingga ‘J’ di garisan permulaan terlebih dahulu sebelum mendapat gelung rotan yang berbeza radiusnya mengikut kepantasan menyusun abjad. Siapa lebih pantas, dia lebih layak mendapat gelung rotan saiz besar.

Perlumbaan bermula! Jalur mereka berdua sebelah menyebelah. Akira Toriyameem dilahirkan bijak genetik, berjaya menyusun abjad paling pantas. Manakala Rusdi Ramlan baru sahaja di susunan abjad ‘G’. Sebelum mula menggolek rotan, Akira Toriyameem sempat menoleh ke tepi melihat sahabatnya. terkejut melihat susunan Rusdi Ramlan, dia menegur.


Meem : Lan, antara D dengan F sepatutnya letak E. ABCDEF!

Lan : oh, terima kasih meem, aku terlupa, aku tak suka huruf E jadi aku tak perasan.

(Lan pernah trauma dimarahi ustazahnya kerana mendapat pangkat E empat kali berturut-turut bagi subjek Pendidikan Islam sehingga otaknya mula melupakan abjad E)

Meem : jom Lan, got to go!

Maka digoleklah gelung rotan itu oleh kesemua peserta dengan seberapa pantas yang mampu takutkan akibat dibuang sekolah jika terlambat. Bagaikan terkena penyakit lembu gila, akhirnya Lan berjaya menghabiskan perlumbaan itu di tempat kelima dengan kelajuan golekan pada kadar ‘150 rotation per minute’ walaupun menggunakan gelung rotan kecil.

Meem : wah macam pelesit, tahniah Lan! Dapat kejar 6 teratas juga.

Lan: fuh bahaya betul tadi. Kau kenapa tak tunggu aku tadi. Barulah orang kata menang bersama, kena buang sekolah pun bersama.

Meem : hahaha. Penat tak? Nah gatorade. Aku beli lebih tadi
.
Lan : eh, ini air kegemaran kau ni meem. Simpan lah.

Meem : sebab tu aku bagi kau.

Lan tersenyum hodoh kurang faham sambil menerima pemberian itu.

BABAK DUA : DUA TITIK EKSTREM

Puan Rafidah Azim, guru kelas, merangkap guru mata pelajaran pendidikan seni visual, berpesan supaya murid-murid menyelesaikan tugasan lukisan berwarna dengan pantas. Siapa yang dapat selesaikan dengan pantas serta cantik lukisannya maka dia mendapat ganjaran. Juga disertakan ganjaran kepada murid yang paling gigih usahanya. Lantas Puan Rafidah keluar meninggalkan kelas itu untuk ke kafeteria menunaikan rutin wajibnya; makan pagi sesi kedua.

Mendengar kata-kata gurunya itu, Rusydi Ramlan mengeluh lalu mengekori Puan Rafidah untuk mengadu perihal dirinya.


Lan: cikgu, nanti dulu, saya ada masalah.

Guru : ya Lan, katakan saja. Luahkan apa yang tak mampu ditelan.

Lan: saya sedih lah cikgu, mustahil saya dapat menandingi Meem untuk lukisan paling cantik.
Guru: kenapa pula begitu?

Lan: ya lah, pensel warnanya jenama LUNA RM 6.50 baru dihadiahkan ayahnya, saya hanya ada SEA LION RM 3 alatan dua tahun lepas.

Guru: Ramlan, semua orang diberikan kertas yang sama untuk melukis, Cuma bezanya Meem sahaja yang bernasib baik memiliki peralatan yang berkualiti. Ini seni sayang, saya sebut cantik, saya tak sebut warna siapa paling terang bukan?

Lan: pastinya yang lebih terang warnanya itu lebih cantik!

Guru: boleh jadi, tapi kan ganjaran utama untuk murid paling gigih usahanya? apa kata kamu kejar yang itu terlebih dahulu. Huhu.

Lan: huhuhu (tersenyum)

Guru: huhuhuhu

Lan: huhuhuhuhu

BABAK TIGA : BARANG UJIAN

Semua murid senyap membisu, kelas menjadi sunyi sehingga kipas laptop Puan Faridah pun jelas kedengaran berbunyi. Kelihatan berdiri tegap satu lembaga bermisai nipis di hadapan kelas 5 Dahlia. Rambutnya rapi ke tepi, sideburn paras tragus, berkemeja putih mutiara, tuck-in lebih tinggi daripada paras pusat, berseluar yankee potongan bell-bottom, size pinggang tidak kurang daripada 34 inci, dan bertali leher UITM biru gelap lima jari lebar.

Klasik, korporat, kemas. Hanyasanya sifat-sifat ini tidak mungkin terkumpul pada seseorang di sekolah itu melainkan kepada Tuan Yang Terulung Dato. Ku Jazlan bin Ku Syafie, guru besar sekolah itu. 


Dialognya mudah sahaja;

Guru besar : murid-murid sekalian, dua kelompok daripada kamu telah diberi tugasan pada minggu lepas, saya beri kamu RM 200, betul?

Murid-murid : …(mengangguk tanda setuju, sepatah pun tidak berbunyi)

Guru besar : baiklah, ketua kumpulan masing-masing, saya minta bangun, dan ceritakan tentang apa yang kumpulan kamu telah lakukan.

Ketua kumpulan 1 : minggu lepas tuan minta kami habiskan RM 200 dengan bijak, memuaskan, dan bermatlamat jauh. Jadi kami habiskannya untuk jamuan ringan semalam, dan kami semua berpuas hati!

Guru besar : dangkal.. (sambil menggeleng-geleng kepala tidak selesa dengan jawapan itu). Mana kumpulan dua? Nyatakan tindakan kamu.

Lan, ketua kumpulan 2 : (dengan tenang bingkas bangun menjawab) RM 200 itu kami sedekahkan kepada pihak masjid! Idea daripada Akira Toriyameem.

Guru besar: bijak, matlamat jauh, tapi adakah keputusan itu memuaskan semua ahli kumpulan?

Lan : tidak semua faham pada awalnya, tetapi  kami capai kata sepakat setelah memahami konsep sedekah jariah.

Guru besar tersenyum lebar sambil mencatat sesuatu di buku nota kecilnya.

Meem dan Lan berpelukan tanpa sebab.

-TAMAT-

Intipati hadis melalui cerita

BABAK SATU : PERLUMBAAN DALAM BERSAHABAT

“Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka…” – potongan mafhum hadis.

1) Kisah perlumbaan golek gelung rotan ini adalah sebuah analogi bagi suasana positif yang ditunjukkan oleh para sahabat di bawah anjuran ‘Fastabiqul khairat’, berlumba-lumba untuk kebaikan. Yang mana perlumbaan ini menjadi kewajipan kerana nasib yang menanti di hadapan garis penamat itu sudah pasti ditentukan oleh usaha daripada garis permulaan.

2) Manakala ada juga sikap para sahabat yang tidak dinyatakan di dalam hadis ini namun molek untuk diperingatkan (5:2) ; perbuatan Meem membantu Lan ketika dalam perlumbaan adalah bandingan mudah bagi konsep tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa.

3) Juga ayat (59:9) dalam perbuatan Meem menghadiahkan air kegemaran kepada Lan merupakan penafian secara mutlak tentang sikap pentingkan diri, sebagaimana dalam persahabatan adanya konsep itsar sesama bersahabat. (‘la itsar fi qurubat’. Itsar hanya berkecuali pada perkara utama sahaja)

BABAK DUA : DUA TITIK EKSTREM

“Dari Abu Dzar r.a : Sesungguhnya sejumlah orang dari sahabat Rasulullah S.A.W  berkata kepada Rasulullah S.A.W : “Wahai Rasululullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka.

Baginda bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma’aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah…” – potongan mafhum hadis

Tiada satu bahagian pun dalam dunia ini tidak dipasangkan dengan yang munasabah terhadapnya. Malah yang lebih kacip ialah dua titik beza paling ekstrem semacam contoh dua kutub tenaga, makin beza makin kuat tarikannya. Begitu juga mesti ada dalam kehidupan manusia, perbezaan yang tidak dapat dielakkan malah lebih utama untuk digandingkan antara keduanya; iaitu dalam kisah ini melibatkan golongan faqir dan golongan kaya.

1) Perbezaan itu sunnah kehidupan, dan setiap perbezaan itu ada panduan muamalah antara keduanya. Sebagaimana orang yang berharta sebagai pengeluar zakat, sunnahnya ada si faqir sebagai penerima zakat. Keharmonian interaksi inilah yang menjamin kemakmuran. Seperti harmoninya Meem dan Lan walau berbeza darjat.

2) Setiap letak duduknya keadaan ada sahaja ruang-ruang kebaikan dan ibadah yang boleh dikerjakan. Jalan kebaikan tidak dimiliki oleh sesuatu pihak sahaja. Dalam kisah di atas, yang diperhatikan ialah siapa paling berusaha mewarna, setiap orang ada peluang usaha itu. Soal siapa paling cantik hanya bonus sampingan.

3) Setiap karakter ada sifat mulia baginya jika dia mengerti. Contohnya Si kaya yang syakir, si fakir yang saabir, si muda yang tekun, dan si tua yang bijaksana.

BABAK TIGA : BARANG UJIAN TUHAN

“...dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah." Mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala?" Baginda bersabda: "Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala."
          
1) Setiap anugerah ke atas manusia adalah rahmat, juga merupakan bahan ujian daripada tuhan. Keadaan dalam bentuk nikmat atau musibah merupakan ujian versi pendek, ujian itu bertukar ganti bentuknya. Sifat merupakan ujian panjang, selagi belum mati, ia berulang tanpa henti. Dan setiap kali itulah jawapan bagi ujian itu dihitung tolak tambahnya. Kisah di atas menunjukkan RM 200 itu sebagai barang ujian yang diberi kepercayaan ke atas mereka untuk dihabiskan ke mana sahaja.

2) Hawa perasaan manusia ialah sifat. Marah, suka, sedih, benci, dan kasih kesemuanya ialah ujian yang berulang bagi kita. Ada tempat yang berpahala diletakkan rasa benci, ada keadaan yang haram kita gunakan perasaan benci. Membezakannya memerlukan kefahaman. Babak tiga menunjukkan kumpulan yang menghabiskan barang ujian ke jalan kebaikan (masjid) tidaklah memuaskan hati semua pihak pada awalnya. Jalan kebaikan jalan yang susah, ia berhajat kepada kefahaman yang lebih. Demikian juga sifat syahwat yang mustahil tiada pada manusia. Ujian maut bagi yang tidak mengerti. Senantiasa ada peluang dosa yang terbuka, namun ketahuilah ada juga ruang yang diredhai untuk ditumpahkan syahwat kedalamnya.

Tuntutlah ilmu. Orang yang sabar ada ganjarannya.

 -Abe Ijau-

Kompilasi Ma’rifat dan Cinta

in ,

Baru-baru ini, bersamaan 26 April 2015, BPI GEN11US telah menganjurkan satu kelas bersama Syeikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani yang bertempat di Markas Abou Risy.  Kelas ini membentangkan kitab Kompilasi Ma’rifat dan Cinta.

Syeikh memulakan kelas dengan sebuah kisah tentang seorang lelaki berpakaian bersih datang menemui nabi Muhammad saw dan bertanya tentang Islam, dan nabi menjawab rukun Islam yang lima. Seterusnya nabi ditanya khabarkan aku tentang iman, lalu nabi menjawab enam rukun iman. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, sekiranya engkau tidak melihatNya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Setelah lelaki itu berlalu, Rasulullah menyatakan bahawa lelaki tersebut adalah Jibril as yang datang untuk mengajarkan kamu agama.



Syeikh menjelaskan ibadah itu amalan yang berdasarkan keyakinan. Antara beberapa point yang dapat dikongsikan daripada kelas tersebut:
Iman dan keyakinan mesti melahirkan ungkapan. Ungkapan bagi iman adalah amal iaitu ibadah. Maka ihsan bukanlah suatu amalan atau keyakinan. Contohnya binaan rumah, iman adalah asasnya, ihsan pula bermakna bagaimana cara untuk memelihara rumah itu. Cara untuk memelihara islam dan iman adalah ihsan. Jika ibadahnya benar, buah daripada ibadah ini akan memberi manfaat kepada semua iaitu konsep soleh sosial dan bukan hanya balik kepada individu.

Manusia andai apabila ditimpa musibah baru mencari Allah, mula bertanya apa salahku, itu menunjukkan ibadah yang dibuatnya adalah adat bukan ibadah. Jika beribadah dengan ihsan dan menjaga solatnya, sekiranya ditimpa musibah, kesedihannya tidak berpanjangan malah mungkin terus tersenyum kerana dia tahu di sebalik musibah itu ada rahmat dan ganjaran daripada Allah.
Ibadah andai tidak dilakukan dengan cara yang betul, maka tidak akan membuahkan kekuatan dalam menghadapi ujian hidup. Solat dan puasa adalah induk penyucian hati. Namun jika tanpa ihsan, maka semua ibadahnya tidak akan menimbulkan akhlak. Setiap dosa itu akan menimbulkan titik hitam di hati. Maka dirikanlah solat itu supaya dapat menghapus dosa kita hingga ke waktu yang seterusnya. Semestinya dengan solat yang betul iaitu ihsan tadi.


Syeikh menjelaskan yang ilmu tasawwuf bukanlah teori semata-mata. Diibarat pengamal perubatan yang hanya mengikut buku tanpa latihan klinikal. Dan betapa pentingnya untuk melihat agama bukan hanya daripada buku, tetapi guru yang mengajarkannya. Tasawwuf merupakan cara yang mungkin ada pada buku, tapi pengalaman dan guru itulah yang lebih penting.

Seterusnya syeikh menjelaskan cinta kepada kekasih itu terbahagi kepada 3:

1. Kerana kecantikan,harta dan kesempurnaan. Kecantikan itu adalah sifat bukan dirinya. Cinta ini sangat lemah kerana sebetulnya bukan cinta kepada kekasihnya cuma cinta kepada dirinya yang inginkan keasyikan dan kenikmatan menatap kesempurnaan.  Dan kerana sebab kecintaan itu akan hilang pada bila-bila masa sahaja. Maka cinta kepada Allah, tingkatan cinta pertama adalah beribadat kerana pahala dan ganjarannya di syurga.

2.Cinta kerana dirinya. Seperti kisah Laila Majnun yang tidak melihat pada kesempurnaan kekasihnya. Cinta ini lebih kuat daripada cinta yang pertama. Tingkatan cinta kedua adalah dengan keimanan yang kuat.

3.Cinta pada munasabah. Kerana jiwanya sama sehingga dia melihat kekasih itu adalah dirinya. Maka nabi menyeru cari yang soleh kerana yang soleh itu untuk yang soleh. Cinta takkan tumbuh tanpa makrifat. Dan makrifat takkan tumbuh tanpa tazkiyah. Dan ihsan itu lahirnya daripada cinta ini.


Semoga perkongsian ini dapat sedikit sebanyak membuka ruang penglihatan kita terhadap konsep ihsan dan makrifat cinta itu sendiri. Wallahua’lam.

Video : Resepi Kentang Bakar Tuna

in ,


Resepi baru untuk bulan ini. Mudah dan ringkas sahaja. Selamat Mencuba !

HADITH #23: PERKARA-PERKARA KEBAIKAN

in

Maksudnya:
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir Alhamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir Subhanallah dan Alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya."
(Riwayat Muslim no.223 dan At-Tirmizi no.3517)

FOKUS UTAMA:

Bersuci
Solat
Zikir
Membaca al-quran
Bersedekah
Sabar
Pokok perbincangan hadis :

1. Kebersihan sebahagian daripada iman : (pendapat ulama’)
    a) Pahala pada kebersihan - berganda sehingga sebahagian pahala iman.
    b) Yang dikehendaki ialah meninggalkan perkara dosa dan maksiat (Surah an-Nahl:56).
    c) Yang dimaksudkan di sini ialah wudhu’: Bersih dari hadas besar dan kecil samada dengan air             atau tayammum, dan yang dikehendaki iman itu ialah solat.
    d) Yang dimaksudkan dengan bersih itu ialah wudhu’ - menghapuskan dosa-dosa kecil.

2. Galakan mengingati Allah:
    a) Memperbanyakkan zikir seperti tasbih dan tahmid, serta solat. Firman Allah S.W.T:
إِنَّني أَنَا اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا فَاعبُدني وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكري
     Ertinya: “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka      
     sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.” (Surah Thaha(20):14)  
     b) Tidak lupa juga dangan membaca Al-quran kerana Al-Quran juga merupakan satu zikir dan    
     pahala akan berganda dengan membaca al-Quran.

3. Memperbanyak sedekah dalam apa cara dan bentuk sekalipun dan sentiasa sabar dan tabah dalam  menghadapi ujian hidup dan meminta pertolongan dan bertawakkal kepada Allah.

Pengajaran hadis:

1.     Iman merupakan ucapan dan perbuatan, bertambah dengan amal shalih dan keta’atan dan berkurang dengan maksiat dan dosa.
2.     Amal perbuatan akan ditimbang pada hari kiamat dan ia memiliki beratnya.
3.     Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, kerana itu harus diambil perhatian.
4.     Menjaga solat akan mendatangkan petunjuk dan memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia, membezakannya dengan akhlaknya dan perilakunya, kewara’annya dan ketakwaannya.
5.     Seruan untuk berinfaq pada jalan-jalan kebaikan dan bersegera melakukannya dimana hal tersebut merupakan pertanda benarnya keimanan.
6.     Anjuran untuk bersabar tatkala mengalami musibah dan tidak sekali-kali menyalahkah qada’ dan qadar Allah atau menunding jari kepada pihak yang lain.
7.     Semangat membaca Al Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungan-kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat.
8.     Seorang muslim harus menggunakan waktunya dan umurnya dalam ketaatan kepada Allah ta’ala serta tidak mengabaikannya kerana kesibukan lainnya.

Konklusinya?

Sahabat GEN11US sekalian, mari kita muhasabah diri sentiasa dan cuba sedaya upaya untuk berubah daripada yang buruk kepada yang baik, dan daripada baik kepada yang lebih baik. Setelah itu, lazimilah amalan-amalan seperti di atas  semampu kita, dan berdoalah kepada Allah agar kita istiqamah dalam melakukan kebaikan dan moga-moga amalan-amalan kita diterima sebagai amalan kebaikan disisi Allah. Semoga kita semua dapat berkumpul kembali di dalam syurga Allah kelak. Amin Ya Rabbal ‘Aalamin.





HADITH #22 : JALAN MENUJU SYURGA

in ,


أَبِي عَبْدِ اللهِ جَابِرْ بْنِ عَبْدِ اللهِ الأَنْصَارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا : أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ اْلمَكْتُوْبَاتِ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْحَلاَلَ، وَحَرَّمْت الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئاً، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ ؟ قَالَ : نَعَمْ
[رواه مسلم]

Dari Abu Abdillah Jabir bin Abdillah Al Anshari radhiyallahu’anhuma bahwa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, ia berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu jika aku mengerjakan shalat fardhu dan berpuasa ramadhan, aku haramkan yang haram, dan aku halalkan yang halal, apakah aku akan masuk surga?” Beliau menjawab, “Ya.” (HR. Muslim. Shahih dikeluarkan oleh Muslim di dalam [Al Iman/15/Abdul Baqi])
Catatan :
*Seseorang yang bertanya dalam riwayat di atas adalah : An-Nu’man bin Qauqal.
*Aku haramkan yang haram, maknanya adalah aku menjauhinya. Sedangkan aku halalkan yang halal, maknanya adalah mengerjakan dengan meyakini kehalalannya.

Apa yang kita boleh dapat daripada hadis ni ya?
Hadis ini mengandungi beberapa pengajaran:
1.       Sikap para sahabat yang gemar bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
2.       Tujuan akhir dari kehidupan ini adalah masuk ke dalam syurga.
3.       Pentingnya solat-solat fardu dan ibadah puasa. Tanpanya kedua-duanya, tiada syurga bagi seseorang hamba.
4.       Wajibnya menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram serta tidak menukar hukum-hukum Allah SWT.

Bagaimana nak aplikasikan hadis ni dalam kehidupan?
1. Evaluasi diri / muhasabah :
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”
(Al-Hashr, 59 : 18)



2. Sentiasa merindukan syurga :
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa.”
(Ali Imran, 3 : 133)

3. Memperhatikan halal haram dalam kehidupan:
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar "Jizyah" dengan keadaan taat dan merendah diri.
(At-Taubah, 9 : 29)

“Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredhaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
(At-Tahrim, 66 : 1)

Syurga memang best, tapi macam susah je… ada jalan mudah ke?
Sahabat GEN11US sekalian, jalan menuju syurga memang dipenuhi onak dan duri serta tidak akan sampai padanya orang yang berehat-rehat. Akan tetapi sesungguhnya ada banyak amalan-amalan yang mudah dilakukan namun Allah membalasnya dengan ganjaran yang sangat besar. Berikut ini disajikan beberapa amalan yang insya Allah ringan diamalkan namun boleh membawa pelakunya ke syurga.

1.       Berzikir Kepada Allah
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

“Ada dua kalimat yang ringan bagi lisan, berat dalam mizan (timbangan amal) dan dicintai ar-Rahmaan: ‘Subhanallahu wa bihamdih’ (Maha Suci Allah dan dengan pujian-Nya kami memuji) ‘Subhanallah al-Azhiim’ (Maha Suci Allah Dzat Yang Maha Agung).” (HR Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ عَمَلًا أَنْجَى لَهُ مِنْ عَذَابِ اللَّهِ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ
“Tidaklah seorang manusia mengamalkan satu amalan yang dapat menyelamatkannya dari azab Allah melainkan zikir kepada Allah.” (HR ath-Thabrani dengan sanad yang hasan dan al-Allamah Ibnu Baz menjadikannya hujjah dalam kitab Tuhfah al-Akhyaar)

2.       Meredhai Allah, Islam dan Rasulullah
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَقُولُ حِينَ يُصْبِحُ وَحِينَ يُمْسِي ثَلَاثَ مَرَّاتٍ رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّا إِلَّا كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُرْضِيَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Tidaklah seorang hamba muslim mengucapkan pada saat dia memasuki waktu pagi dan memasuki waktu petang: ‘radhiitu billahi rabba, wa bil islaami diina wa bi muhammad shallallahu ‘alaihi wa salam nabiya (aku ridha Allah sebagai Rabb-ku, Islam sebagai agamaku, dan Muhammad sebagai Nabi-ku)’ sebanyak tiga kali, melainkan merupakan hak bagi Allah untuk meredhainya pada hari kiamat kelak.” (HR Ahmad dan dihasankan oleh al-Allamah Ibnu Baz dalam kitab Tuhfah al-Akhyaar)

3.       Menuntut Ilmu
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,
مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا إِلَى الْجَنَّةِ
“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” (HR Muslim no 2699)

4.       Menahan Marah
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,
مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ يَسْتَطِيعُ عَلَى أَنْ يُنَفِّذَهُ دَعَاهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى رُءُوسِ الْخَلاَئِقِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ فِي اَيِّ الْحُورِ شَاءَ
“Barangsiapa yang menahan amarahnya padahal dia mampu untuk melampiaskannya, nescaya Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan para makhluk sampai Allah memilihkan untuknya bidadari-bidadari yang dia suka.” (Dihasankan oleh Imam at-Tirmidzi dan disepakati oleh Syaikh al-Albani)

5.       Membaca Ayat Kursi Setiap Selesai Solat
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِي دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ لَمْ يَمْنَعُهُ مِنْ دُخُوْلِ الْجَنَّةَ إِلاَّ أَنْ يَمُوْتَ
“Barangsiapa yang membaca Ayat Kursi setiap selesai solat, maka tidak ada yang dapat menghalanginya untuk masuk syurga kecuali jika dia mati.” (HR an-Nasaa’i dan dishahihkan oleh Syaikh al-Albani)
Maksudnya adalah jika dia mati, dia akan masuk syurga dengan rahmat dan kurnia Allah ‘Azza wa Jalla.

6.       Menyingkirkan Gangguan di Jalan
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,
لَقَدْ رَأَيْتُ رَجُلاً يَتَقَلَّبُ فِي الجَنَّةِ فِي شَجَرَةٍ قَطَعَهاَ مِنْ ظَهْرِ الطَّرِيقِ كَانَتْ تُؤْذِي النَّاسَ
“Sungguh aku telah melihat seorang lelaki mundar-mandir di dalam syurga disebabkan sebatang pokok yang dia tebang dari tengah jalan yang selalu mengganggu manusia” (HR. Muslim)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,
مَرَّ رَجُلٌ بِغُصْنِ شَجَرَةٍ عَلَي ظَهْرِ طَرِيقٍ فَقَالَ وَاللهِ لأُنَحِّيَنَّ هَذَا عَنْ المُسْلِمِينَ لَا يُؤذِيهِمْ فَأُدْخِلَ الجَنَّةَ
“Ada seorang lelaki berjalan melewati ranting pohon yang ada di tengah jalan, lalu dia berkata, ‘Demi Allah, sungguh aku akan singkirkan ranting ini dari kaum muslimin agar tidak menganggu mereka.’ Maka dia pun dimasukkan ke dalam syurga.” (HR Muslim)

7.       Membela Kehormatan Saudaranya di Saat Ketidakhadirannya
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,
مَنْ رَدَّ عَن عِرْضِ أَخِيهِ رَدَّ اللهُ عَن وَجْهِهِ النَّارَ يَوْمَ القِيَامَةِ
“Barangsiapa membela harga diri saudaranya, nescaya pada hari kiamat Allah akan memalingkan wajahnya dari api neraka.” (Dihasankan oleh Imam at-Tirmidzi dan dishahihkan oleh Syaikh al-Albani)

Dalam hadis lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,
مَنْ وَقَاهُ اللهُ شَرَّ مَا بَيْنَ لَحيَيْهِ وَ شَرَّ مَا بَيْنَ رِجْلَيْنِ دَخَلَ الجَنَّةَ
“Barangsiapa yang Allah lindungi dari keburukan apa yang ada di antara kedua rahangnya (iaitu mulut) dan keburukan yang ada di antara dua pahanya (iaitu kemaluannya), nescaya dia akan masuk syurga.” (Dihasankan oleh Imam at-Tirmidzi dan disepakati oleh Syaikh al-Albani)

8.       Menjauhi Debat yang Membangkitkan Kekacauan Meskipun di Pihak yang Benar
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam,

أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ

“Aku akan menjamin sebuah rumah di dasar syurga bagi orang yang meninggalkan debat meskipun dia berada dalam pihak yang benar. Dan aku menjamin sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dalam keadaan bercanda. Dan aku akan menjamin sebuah rumah di bahagian teratas syurga bagi orang yang membaguskan akhlaknya.” (HR Abu Dawud dan dihasankan oleh Syaikh al-Albani)

9. Berwudhu’ Lalu Solat Dua Rakaat
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda,”Tidaklah seorang muslim berwudhu’ lalu dia baguskan wudhu’nya, kemudian dia berdiri solat dua rakaat dengan menghadapkan hatinya dan wajahnya pada kedua rakaat itu, melainkan syurga wajib baginya.” (HR Muslim)

10. Solat di Masjid
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam bersabda, “Berikanlah khabar gembira bagi orang-orang yang berjalan di dalam kegelapan untuk menuju masjid, mereka akan mendapatkan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.” (HR Abu Dawud dan dishahihkan oleh Syaikh al-Albani)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam juga bersabda, “Barangsiapa yang pergi ke masjid atau pulang dari masjid, nescaya Allah akan persiapkan baginya nuzul di dalam syurga setiap kali dia pergi dan pulang.” (HR Bukhari dan Muslim)
Imam an-Nawawi berkata, “Nuzul adalah makanan ruji, rezeki dan makanan yang dipersiapkan untuk tamu.”

Konklusinya?
Sahabat GEN11US sekalian, mari kita muhasabah diri sentiasa seperti Saidina Nu’man dalam hadis di atas. Setelah itu, lazimilah amalan-amalan kecil yang mudah semampu kita, tanpa sesekali mengambil ringan amalan-amalan fardu seperti solat, puasa dan lain-lain. Semoga kita semua dapat berkumpul kembali di dalam syurga Allah kelak. Amin Ya Rabbal ‘Aalamin.



Sekularisme : Ancaman Besar Ketulenan Islam

in

Sekularisme: Ancaman Besar Ketulenan Islam




Pada 11 Mei 2014 yang lalu, Biro Pembangunan Insan (BPI) GEN11US telah menganjurkan sebuah program berbentuk ceramah umum dengan penampilan istimewa al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Zulkifli bin Haji Ismail. Ustaz Zulkifli yang merupakan Mudir Pondok Baitul Qurra’, Melaka di Malaysia merupakan pengarang buku bertajuk ‘Ancaman Bahaya Sekularisme’ terbitan Baitul Qurra’ sendiri yang telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Ahad lalu, beliau telah berbesar hati untuk menyampaikan ceramah kepada warga Sayyeda Zainab sebagai salah satu slot ceramah beliau sepanjang ziarahnya ke Mesir.

Ceramah ini diadakan di Masjid Hashimiah, Abou Rish selepas waktu Asar. Kehadiran Ustaz Zulkifli pada kira-kira jam 4.30 petang diraikan dengan penuh teruja oleh para mahasiswa dan mahasiswi yang hadir petang tersebut. Ceramah yang membawa tajuk Ancaman Sekularisme: Serangan Pemikiran Moden bertujuan mengukuhkan kefahaman tentang Islam dan menyemai kasih terhadap Nabi Muhammad SAW.

Ceramah telah dimulakan dengan pengenalan mengenai fahaman sekularisme. Ustaz Zulkifli telah menerangkan bahawa pemikiran sekularisme bukanlah suatu perkara baharu yang wujud dalam ummah pada hari ini. Bahkan ia telah wujud sejak sekian lama dahulu, termasuklah pada zaman Mesir kuno dan telah dibongkarkan hakikat kepincangannya oleh para ulama terdahulu. Pemikiran sebegini membawa dasar andaian semata-mata dan bukanlah berlandaskan dalil yang nyata.

Lanjutan pengenalan sekularisme, beliau turut menekankan pecahan-pecahan pemikiran yang bertunjangkan sekularisme, termasuklah pluralism dan liberalism yang sedang berkembang biak di tanah air kita, Malaysia. Kesannya, ia telah membuka kebebasan pemikiran tanpa had, yang menjadikan fahaman bahawa agama itu bukanlah suatu yang mutlak. Implikasi yang lebih menyedihkan, falsafah sebegini hanya menggunakan andaian tanpa sumber yang sahih seperti Al-Quran dan hadis sebagai rujukan. Pelbagai bentuk penyelewengan para intelek sekularisme telah disenaraikan oleh ustaz secara ringkas.

Sepanjang ceramah ini, beliau sentiasa menitipkan pesanan berharga buat mahasiswa yang menuntut ilmu di Perlembahan Nil ini. Tuan Guru Ustaz Zulkifli menyeru seluruh mahasiswa  agar memanfaatkan semaksimum peluang untuk menghadiri majlis-majlis ilmu bersama para masyaikh di Al-Azhar, di mana peluang sebegini sukar diperoleh di tempat-tempat lain.  Selain itu beliau turut menggesa agar mahasiswa menuntut ilmu bersungguh-sungguh hingga dapat melahirkan inovasi moden yang bertunjangkan keimanan kepada Allah SWT.

Ceramah ini berakhir pada kira-kira jam 6.30 petang seusai sesi soal jawab bersama Ustaz Zulkifli.






“Syukur itu ialah memperkatakan tentang nikmat Allah SWT”




Biro Pembangunan Insan (BPI) GEN11US 2013/2014

HADITH #20

in


Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al Anshary Al Badry radhiallahuanhu dia berkata: Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam bersabda : Sesungguhnya ungkapan yang telah dikenal orang-orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah :  Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau suka

(Riwayat Bukhari)



Sabda Rasulullah SAW  berbuatlah sekehendakmu “ , mengandungi dua pengertian:


Pertama:


Bererti  ancaman dan peringatan keras , bukan merupakan perintah, sebagaimana sabda Baginda : “lakukanlah sesuka hati kamu.” Yang juga bererti ancaman , sebab kepada mereka telah diajarkan apa yang harus ditinggalkan. Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud “Sesiapa yang menjual khamar (arak) maka hendaklah dia memotong-motong daging babi.” Tidak bererti bahawa beliau membenarkan melakukan perbuatan tersebut.


Kedua:


Hendaklah melakukan apa saja kamu tidak malu melakukannya, seperti halnya sabda Nabi SAW: “Malu itu sebahagian daripada iman.” Maksud malu di sini adalah malu yang dapat mendorongnya berbuat kebajikan dan menjauhkan dirinya daripada perbuatan keji dan mungkar. Demikian juga malu dapat mendorong seseorang meninggalkan perbuatan keji kemudian melakukan perbuatan baik, maka malu seperti ini setaraf dengan iman kerana persamaan pengaruhnya kepada seseorang.



Pengajaran:


1) Malu merupakan ajaran yang telah disepakati oleh para nabi dan tidak terhapus ajarannya.

2) Jika seseorang itu meninggalkan perasaan malu, maka jangan harap ada lagi kebaikan pada dirinya walau sedikit pun.

3) Malu merupakan landasan akhlak mulia dan selalu berpaksikan kepada kebaikan. Sesiapa yang banyak malunya lebih banyak kebaikannya, dan siapa yang sedikit rasa malunya semakin sedikit kebaikannya.

4) Rasa malu merupakan perilaku dan dapat dibentuk . Maka setiap orang yang memiliki tanggungjawab hendaknya memerhatikan bimbingan terhadap mereka yang menjadi tanggungjawab seperti:

   -suami bertanggjawab terhadap isterinya.

   -ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak-anaknya.

   -majikan bertanggungjawab terhadap pekerjanya .

   -Pemerintah bertanggungjawab terhadap rakyatnya.

5) Jangan ada rasa malu dalam mengajar hukum-hakam agama serta menuntut ilmu dan kebenaran.

6) Antara manfaat rasa malu ialah:

   -IFFAH iaitu menjaga diri daripada perbuatan tercela.

   -WAFA iaitu menepati janji.

7) Rasa malu merupakan salah satu cabang iman yang wajib diamalkan.



Family first, bring your heart home.

Ad-Deen first, bring your heart to Allah.




Biro Pembangunan Insan GEN11US 2013/2014



Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers