[FE] Sang Pencinta Syurga

in

Bismillahirrahmanirrahim..


“Dari Abdullah bin 'Amr RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat.”


(HR Bukhari)



“Ahmad!!!” Pekik seorang wanita di kejauhan.

 “Arghhhhh!!!” Aku mengerang. Sakit. Terasa badan di belakangku panas.

“Ahmad! Mengucap wahai anakku. Syahadah anakku! Syahadah!” Terdengar suara wanita yang amat kukenali. Tapi pandanganku kabur. Yang terlihat hanyalah cahaya putih yang terang.

Nafasku berat. Bibirku lumpuh tapi lidahku masih lembut bergerak. Kuasa Allah, ia masih mampu bergerak.

“La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah” Tenang. Badanku terasa ringan.

…………………………………………………………………..

“Allah… Cantiknya… SubhanAllah…” Aku tersenyum. Hilang kesakitan yang tadi. Tersingkap pada pandangan istana milikku di kawasan yang cantik. Teramat indah sehinggakan aku sedikit kaget tidak mampu menahan senyum. Aku tidak tahu mengapa suara hatiku begitu kuat mengatakan bahawa istana itu milikku.

Deruan air terdengar jelas di telinga. Wangi baunya. Seperti susu segar. Aku teringin minum sedikit airnya. Tidak semena-mena, muncul pada pandangan, gelas emas yang tersedia di tebing. Tatkala melihat gelas itu saja aku sudah terpana lama dengan keindahan buatannya.

Aku tersedar setelah lama menghayati keindahan buatan gelas itu. Aku cedok sedikit air lantas kuminum. Allahu rabbi. Memang susu. Segarnya tidak seperti susu yang aku minum sehari-harian. Pohon-pohon rendang pula seperti melambai-lambai menjemput kehadiranku. Allahu. Indah.

“Ahmad, selamat datang. Aku isterimu.” Suara halus menyapaku. Dia berbicara tenang tapi yang kudengari hanyalah sebuah nyanyian merdu. Asyik sungguh. Aduh.

Aku mencari suara itu.

“Allah…” Aku terpana lama. Indahnya wajah itu. Kulitnya bersih, matanya indah dan dia sendiri tercipta cantik. Lebih jelita daripada wanita-wanita dunia. Sehingga aku musykil apakah benar dia seorang wanita kerana keindahannya kelihatan indah yang teramat. Aku menjadi angau.

Tiba-tiba, dia kelihatan jauh.

“Isteriku!!!” Aku memekik. Aku meronta ingin mendekatinya tapi dia kelihatan semakin jauh dan menjauh. Dalam kesamaran dia hanya tersenyum nipis seraya berkata,

“Aku akan setia menunggumu di sini sehingga kau syahid, suamiku.” Merdu. Aku terdiam.

………………………………………………………………………

Di dunia sebenar, dunia kelihatan serabut dengan mayat manusia di merata-rata tempat. Terdengar bunyi tembakan rambang dari manusia beruniform coklat tua. Berdas-das yang dilepaskan dan yang bergelimpangan pula manusia-manusia yang tidak bersenjata. Rakyat marhaen yang mereka sangka pemberontak negara.

Tubuh tua itu menggoncang-goncang tubuh yang berlumuran darah. Telinganya didekapkan ke dada pemuda itu. Terdengar esakan kecilnya selepas beberapa detik.

“Bahagialah wahai anakku. Kau telah syahid menghadap penciptamu dan ibu redha, anakku. Ibu redha.” Esakan itu berakhir dengan senyuman. Tubuh yang sedia lemah memeluk kejap tubuh yang tiada ruh itu. Dalam tangisan dia masih mampu tersenyum sambil mengusap-ngusap kepala jenazah lelaki berambut ikal itu.

“Ya hajjah! Izinkan saya membantu.” Sapa seorang lelaki berbaju kameja.

Kelihatan percikan darah di bajunya. Lagaknya seperti orang bijak pandai. Kelihatan stethoscope biru terpaut kemas di lehernya. “Saya doktor,” sambungnya.

“Anakku telah syahid, wahai doktor,” wanita tua itu menjawab. Sisa wajahnya kelihatan tenang. Hatinya pasti jauh lebih tenang hasil tahajjud cinta di malam hari.

Lelaki berkemeja itu senyap. Diselak kelopak mata kanan pemuda tersebut. Disuluh dengan lampu picit kecil miliknya. Tiada respon. Dia tidak berpuas hati. Mencari nadi di sebalik pergelangan tangan pemuda yang dikatakan syahid itu. Dia sangsi apakah benar denyutan yang dirasa di hujung jari. Dengan pantas diaphragm stethoscope dilekapkan ke dada pemuda itu. Denyutan! Tetapi teramat lemah bunyinnya.

“Dia masih ada ibu.” Dengan pantas doktor itu mengangkat pemuda tersebut. Gagah. Dia berlari-lari anak menuju ke dalam masjid yang telah dijadikan hospital sementara.

Anak muda dibaringkan di atas karpet masjid yang dilumuri darah. Denyutan nadi dicari semula di persembunyian carotid. Hilang.

“Emergency!!! Berikan pemuda ini kejutan elektrik!” Laung doktor itu.

……………………………………………………………………..

Gambaran istana milikku hilang. Pandanganku jadi kelam. Duniaku menjadi kabur dan sedikit demi sedikit aku terlihat lampu masjid tempat aku sentiasa ber-qailullah setelah solat zuhur berjemaah. Di satu sudut, aku terlihat rak berisi al-Quran yang sering aku pinjam untuk dibaca pada masa terluang.

Perlahan-lahan mataku menangkap kipas tua yang sedang berpusing ligat. Saban malam, pasti bunyi deruan kipas itu yang menemani aku qiam. Tapi kini, bunyi itu hilang di sebalik tangisan dan jeritan yang bingit.

Aku menoleh sedaya mampu ke kanan. Mataku membeliak bulat.

“A…..Ali,” tersekat di kerongkongan.

Darah segar mengalir dari rongga hidung dan telinganya. Dahinya berlubang dan kulit sekitar lubang itu seperti melecur terbakar. Wajahnya tenang tersenyum walau dalam berlumuran darah. Aku bungkam. Terasa iri hati apabila sahabatku sudah menemui penciptanya dengan title syahid yang didambanya lewat cerita dalam kumpulan usrah kami. Ya. Ali sahabat seusrahku.

Air jernih mengalir dari tubir mataku. Aku sesak. Aku meronta. Aku ingin kembali ke dunia tadi.

“Ahmad!” Ibuku menerpa ke arahku.

“Ibu, demi Allah, aku telah lihat gambaran syurga. Ibu, izinkan aku pergi berjuang. Doakan aku syahid!” Aku menyatakan hasrat dalam kelemahan. Sang pencinta syurga tekad.




"Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah dia berilmu."




(Imam As-Syafie)



[HR]
Fustateleven®

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

3 comments:

  1. masyaAllah.

    really boosting up my spirit to be there, to be in jannah.

    keep it up HR. may Allah bless.

    ReplyDelete
  2. dunia.. tempat persinggahan. sedih. pilu. adakah persinggahan yang sementara ini lebih kudambakan? sedangkan syurga itu jauh kenikmatannya.. diri ini trllu kotor dan hina utk memijak di syurga.. hanya dengn rahmatMu, terimalah hambaMu..

    ~ artikel yg sngt menarik..

    ReplyDelete
  3. HR ada potensi buat cerpen. keep it up.

    ReplyDelete

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers