Kompilasi Ma’rifat dan Cinta

in ,

Baru-baru ini, bersamaan 26 April 2015, BPI GEN11US telah menganjurkan satu kelas bersama Syeikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani yang bertempat di Markas Abou Risy.  Kelas ini membentangkan kitab Kompilasi Ma’rifat dan Cinta.

Syeikh memulakan kelas dengan sebuah kisah tentang seorang lelaki berpakaian bersih datang menemui nabi Muhammad saw dan bertanya tentang Islam, dan nabi menjawab rukun Islam yang lima. Seterusnya nabi ditanya khabarkan aku tentang iman, lalu nabi menjawab enam rukun iman. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, sekiranya engkau tidak melihatNya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Setelah lelaki itu berlalu, Rasulullah menyatakan bahawa lelaki tersebut adalah Jibril as yang datang untuk mengajarkan kamu agama.



Syeikh menjelaskan ibadah itu amalan yang berdasarkan keyakinan. Antara beberapa point yang dapat dikongsikan daripada kelas tersebut:
Iman dan keyakinan mesti melahirkan ungkapan. Ungkapan bagi iman adalah amal iaitu ibadah. Maka ihsan bukanlah suatu amalan atau keyakinan. Contohnya binaan rumah, iman adalah asasnya, ihsan pula bermakna bagaimana cara untuk memelihara rumah itu. Cara untuk memelihara islam dan iman adalah ihsan. Jika ibadahnya benar, buah daripada ibadah ini akan memberi manfaat kepada semua iaitu konsep soleh sosial dan bukan hanya balik kepada individu.

Manusia andai apabila ditimpa musibah baru mencari Allah, mula bertanya apa salahku, itu menunjukkan ibadah yang dibuatnya adalah adat bukan ibadah. Jika beribadah dengan ihsan dan menjaga solatnya, sekiranya ditimpa musibah, kesedihannya tidak berpanjangan malah mungkin terus tersenyum kerana dia tahu di sebalik musibah itu ada rahmat dan ganjaran daripada Allah.
Ibadah andai tidak dilakukan dengan cara yang betul, maka tidak akan membuahkan kekuatan dalam menghadapi ujian hidup. Solat dan puasa adalah induk penyucian hati. Namun jika tanpa ihsan, maka semua ibadahnya tidak akan menimbulkan akhlak. Setiap dosa itu akan menimbulkan titik hitam di hati. Maka dirikanlah solat itu supaya dapat menghapus dosa kita hingga ke waktu yang seterusnya. Semestinya dengan solat yang betul iaitu ihsan tadi.


Syeikh menjelaskan yang ilmu tasawwuf bukanlah teori semata-mata. Diibarat pengamal perubatan yang hanya mengikut buku tanpa latihan klinikal. Dan betapa pentingnya untuk melihat agama bukan hanya daripada buku, tetapi guru yang mengajarkannya. Tasawwuf merupakan cara yang mungkin ada pada buku, tapi pengalaman dan guru itulah yang lebih penting.

Seterusnya syeikh menjelaskan cinta kepada kekasih itu terbahagi kepada 3:

1. Kerana kecantikan,harta dan kesempurnaan. Kecantikan itu adalah sifat bukan dirinya. Cinta ini sangat lemah kerana sebetulnya bukan cinta kepada kekasihnya cuma cinta kepada dirinya yang inginkan keasyikan dan kenikmatan menatap kesempurnaan.  Dan kerana sebab kecintaan itu akan hilang pada bila-bila masa sahaja. Maka cinta kepada Allah, tingkatan cinta pertama adalah beribadat kerana pahala dan ganjarannya di syurga.

2.Cinta kerana dirinya. Seperti kisah Laila Majnun yang tidak melihat pada kesempurnaan kekasihnya. Cinta ini lebih kuat daripada cinta yang pertama. Tingkatan cinta kedua adalah dengan keimanan yang kuat.

3.Cinta pada munasabah. Kerana jiwanya sama sehingga dia melihat kekasih itu adalah dirinya. Maka nabi menyeru cari yang soleh kerana yang soleh itu untuk yang soleh. Cinta takkan tumbuh tanpa makrifat. Dan makrifat takkan tumbuh tanpa tazkiyah. Dan ihsan itu lahirnya daripada cinta ini.


Semoga perkongsian ini dapat sedikit sebanyak membuka ruang penglihatan kita terhadap konsep ihsan dan makrifat cinta itu sendiri. Wallahua’lam.

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

0 comments:

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers