Abu Ayyub Al-Anshari

in

ABU AYYUB AL ANSHARI
(Persemadian Abadi di Bawah Tiang Kota Konstantinopel)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Apa khabar iman kita wahai sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH? Diharapkan supaya keimanan kita akan terus bertambah dari sehari ke sehari. Pada tulisan kali ini, saya ingin mengajak sidang pembaca yang teguh keimanan, berani menghadapi cabaran, istiqamah dalam amalan dan manis dengan senyuman, untuk bersama-sama kita kembali ke zaman para sahabat baginda Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam. Mengapakah saya dan anda perlu untuk membaca sirah para sahabat yang terdahulu sedangkan masih banyak ilmu perubatan yang masih belum dikuasai? Jawapannya amat mudah wahai saudara dan saudari yang dikasihi. Oleh itu, saya tidak berhasrat untuk menjawab persoalan ini, tetapi cukuplah sekadar saya bertanyakan kepada anda dan diri saya supaya jawapan yang kita perolehi memberi kesan pada hati.

Sahabat-sahabat yang dilindungi ALLAH,

Masih ingatkah anda tentang peristiwa Hijrah Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam? Masih ingatkah anda betapa utuhnya ukhwah antara Muhajirin dan Ansar yang dipersaudarakan atas satu aqidah yang mulia? Masih ingatkah anda peperangan-peperangan yang berlaku pada zaman pemerintahan Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam? InsyaALLAH, mudah-mudahan kita sentiasa mengingati sirah perjuangan baginda Sollallahu ‘Alaihi Wasallam. Menyingkap kembali labuhan tirai tahun pertama hijrah, pastinya kita semua akan mengagumi keperibadian kaum Muhajirin yang sanggup meninggalkan kemewahan dan kesenangan hidup di Makkatul Mukarramah semata-mata ingin menyahut seruan hijrah Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam. Begitu juga dengan pengorbanan kaum Ansar di Madinatul Munawwarah yang sanggup berkongsi segala kepunyaan mereka dengan Muhajirin Mekah, semuanya kerana ALLAH  YANG ESA. Apabila bercerita tentang Ansar, terlintas di fikiran tentang seorang sahabat yang menyerahkan seluruh hidupnya dalam mempertahankan agama Islam yang tercinta. Siapakah beliau?
           
Sahabat yang mulia ini bernama KHALID BIN ZAID BIN KULAIB. Beliau berasal daripada Bani Najjar. Beliau dikenali dengan gelaran Abu Ayyub Al-Anshari kerana beliau merupakan golongan Ansar. Siapakah di antara kaum muslimin yang belum mengenali Abu Ayyub Al-Anshari?

Nama dan darjatnya dimuliakan Allah di kalangan makhluk, baik di Timur mahupun
di Barat. Mengapa? Kerana Allah telah memilih rumahnya di antara sekalian rumah kaum muslimin, untuk menjadi tempat tinggal Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam yang mulia, ketika beliau baru tiba di Madinah sebagai Muhajir. Hal menjadi kebanggaan Abu Ayyub. Peristiwa Rasulullah menetap di rumah Abu Ayyub merupakan suatu kisah yang  manis untuk dikenang dan tidak jemu untuk diulang-ulang.

Setibanya Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam  di Madinah, baginda disambut dengan hati terbuka oleh seluruh penduduk pada ketika itu. Kehadiran baginda sangat dialu-alukan dan disambut dengan penuh  kemuliaan yang belum pernah diterima oleh tetamu atau utusan lain yang datang ke sana.  Seluruh mata tertumpu kepada baginda, mereka memandang Rasulullah dengan pandangan yang bersinar-sinar  ibarat memancarkan kerinduan seorang kekasih kepada kekasihnya yang baru tiba. Mereka sedia menerima kasih sayang Rasulullah. Setiap penduduk yang memiliki rumah membuka pintu rumah mereka seluas-luasnya, masing-masing mengharapkan kekasih yang dirindui sudi untuk mendiami rumah mereka.

Sebelum sampai ke kota Madinah, baginda dan para muhajirin telah singgah di Quba’ selama beberapa hari. Di kampung itu, baginda telah mendirikan sebuah masjid yang merupakan masjid pertama yang dibina atas dasar taqwa. Kemudian, baginda  meneruskan perjalanan ke kota Yathrib dengan menaiki unta. Para pemimpin Yatsrib berdiri sepanjang jalan yang akan dilalui beliau untuk menyambut kedatangan baginda. Masing-masing berebut meminta Rasulullah tinggal di rumah mereka. Seorang demi seorang Sayyid (gelaran pemimpin Yatsrib) menghadang
dan memegang tali unta yang dinaik baginda untuk membawanya ke rumah mereka.

“Ya, Rasulullah! Sudilah kiranya tinggal di rumah saya selama mana yang Engkau kehendaki.
Keselesaan dan keselamatan Engkau akan terjamin sepenuhnya.” kata mereka berharap.
Jawab Rasulullah, “Biàrkanlah unta itu berjalan ke mana dia mahu, kerana dia sudah
mendapat perintah.”

         Unta Rasulullah terus berjalan diikuti semua mata yang sedari tadi tidak lepas memerhati dengan hati yang penuh pengharapan. Setelah satu demi satu rumah dilewati unta baginda, terdengar keluhan putus asa pemilik rumah tersebut kerana apa yang diangan-angankannya ternyata hampa. Unta terus berjalan melenggang-lenggok seenaknya sambil diiringi orang ramai yang masih setia mengekorinya dari belakang. Mereka ingin tahu siapakah gerangan yang beruntung menerima tetamu dan kekasih yang mulia ini. Setibanya di sebuah kawasan lapan, iaitu di halaman rumah Abu Ayyub Al-Anshari, unta itu berlutut. Rasulullah tidak segera turun dari belakang unta tersebut sebaliknya unta itu disuruhnya berdiri dan berjalan kembali. Tetapi setelah berjalan mengelilingi kawasan lapang itu, unta itu berlutut kembali.

Abu Ayyub bertakbir kegembiraan. Dia segera mendekati Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam dan melapangkan jalan untuk baginda. Diangkatnya barang-barang baginda dengan kedua-dua belah tangannya, bagaikan mengangkat seluruh perbendaharaan dunia. Lalu dibawanya ke rumahnya. Rumah Abu Ayyub bertingkat-tingkat. Tingkat atas telah dikosongkan dan dibersihkannya sedari awal untuk didiami Rasulullah. Tetapi Rasulullah lebih suka tinggal di bawah. Walaupun agak keberatan namun Abu Ayyub menurut sahaja permintaan baginda asalkan baginda selesa dan tenang menginap di rumah beliau. Setelah malam melabuhkan tirainya, Rasulullah masuk ke kamar tidur. Abu Ayyub dan isterinya juga turut naik ke bilik yang berada di tingkat atas.

       Ketika suami isteri itu menutup pintu, Abu Ayyub berkata kepada isterinya,

 “Celaka....! Mengapakah kita sebodoh ini. Patutkah kita membiarkan Rasulullah tidur di bilik bawah sedangkan kita berada lebih tinggi daripada  baginda? Patutkah kita berjalan di atas beliau? Patutkah kita berada lebih tinggi daripada Nabi dan Wahyu? Niscaya kita celaka!”

Kedua-dua suami isteri itu kebingungan, mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan. Tidak lama selepas itu, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tidur di kamar yang tidak setentang dengan kamar Rasulullah. Mereka berjalan benjingkit-jingkit dan berhati-hati untuk mengelakkan bunyi derapan telapak kaki mereka. Menjelang subuh, Abu Ayyub berkata kepada Rasulullah, “Kami tidak boleh melelapkan mata walaupun sebentar pada malam tadi ya Rasulullah. Baik aku mahupun ibu Ayyub”

“Mengapakah begitu?” tanya Rasulullah

“Aku takut. Aku fikir, kami berada di atas sedangkan Rasulullah yang kami muliakan berada di bawah. Apabila bergerak sedikit sahaja, abu pasti jatuh mengenai Rasulullah. Di samping itu, kami mengalingi Rasulullah dengan wahyu,” jelas Abu Ayyub. 

“Bertenanglah, wahai Abu Ayyub. Saya lebih suka tinggal di bawah kerana akan banyak tetamu yang akan datang berkunjung.”

Kata Abu Ayyub, “Akhirnya saya mengikuti kemahuan Rasulullah. Pada suatu malam
yang dingin, bejana kami pecah di tingkat atas, sehingga airnya tumpah. Kain untuk  mengelap tumpahan air tersebut hanya ada sehelai. Oleh sebab itu, kami menggunakan baju kami untuk mengeringkan air tersebut. Namun begitu, kami sangat khuatir sekiranya terdapat tumpahan air yang mengalir ke tempat Rasulullah. Saya dan Ibu Ayyub bekerja keras mengeringkan air sampai habis. Setelah hari subuh saya pun menemui Rasulullah. Saya berkata kepada baginda, “Ya Rasulullah, sungguh, saya berasa malu untuk tinggal di atas sedangkan Rasulullah tinggal di bawah”.

Kemudian Abu Ayyub menceritakan kepada beliau perihal bejana yang pecah itu.
Disebabkan itu, Rasulullah bersetuju membenarkan kami pindah ke tingkat bawah dan baginda berpindah  ke atas. Rasulullah tinggal di rumah Abu Ayyub lebih kurang selama tujuh bulan. Setelah masjid Rasulullah selesai didirikan, baginda berpindah ke kamar-kamar yang dibuatkan untuk baginda  dan para isteri baginda di sekitar masjid. Sejak berpindah dari rumah Abu Ayyub , Rasulullah menjadi jiran tetangga yang amat rapat dengan Abu Ayyub. Rasulullah sangat menghargai Abu Ayyub suami isteri sebagai tetangga yang baik. Abu Ayyub mencintai Rasulullah sepenuh hati. Begitu juga dengan baginda. Mereka saling membantu sekiranya menghadapi kesusahan. Rasulullah telah menganggap rumah Abu Ayyub seperti rumah baginda sendiri.

Ibnu ‘Abbas pernah bercerita seperti berikut:

Pada suatu hari, di tengah hari yang panas terik, Abu Bakar pergi ke masjid, lalu bertemu
dengan ‘Umar ra.
“Hai, Abu Bakar! Mengapa engkau keluar pada waktu panas sebegini?”, tanya Umar.

Jawab Abu Bakar, “Saya lapar!”

Kata ‘Umar, “Demi Allah! Saya juga lapar.”

Ketika mereka sedang berbincang begitu, tiba-tiba Rasuluflah muncul.

Tanya Rasulullah, “Kamu hendak ke mana di saat panas begini?”

Jawab mereka, ‘Demi Allah! Kami mencari makanan kerana lapar.”

Kata Rasulullah, ‘Demi Allah yang jiwaku di tangan Nya! Saya juga lapar. Jom! Marilah
ikut saya.”

Mereka bertiga berjalan bersama-sama ke rumah Abu Ayyub Al-Anshari. Kebiasanya Abu
Ayyub akan menyediakan makanan setiap hari untuk Rasulullah. Apabila baginda terlambat atau tidak datang, makanan itu akan dihabiskan oleh keluarga Abu Ayyub. Setelah mereka tiba di pintu, Ibu Ayyub keluar menyambut kedatangan mereka.

‘Selamat datang, ya Nabiyallah dan kawan-kawan!” kata Ibu Ayyub.

“Kemana Abu Ayyub?” tanya Rasulullah.

Ketika itu Abu Ayyub sedang bekerja di kebun kurma yang terletak berhampiran dengan rumahnya. Sebaik sahaja Abu Ayyub mendengar suara Rasulullah, dia bergegas pulang untuk menemui beliau.

“Selamat datang, ya Nabiyallah dan kawan-kawan!” kata Abu Ayyub.
Abu Ayyub menyambung bicaranya, “Ya, Nabiyallah! Selalunya Engkau tidak datang pada waktu sebegini.”

Jawab Rasulullah “Betul. Wahai Abu Ayyub!

Abu Ayyub kembali ke kebunnya, lalu diambilnya setandan kurma. Dalam setandan itu terdapat kurma yang sudah kering, yang basah, dan yang setengah masak. 

Kata Rasulullah, “Saya tidak menghendaki engkau memotong kurma setandan begini.

Alangkah baiknya jika engkau hanya memetik kurma yang kering.”

Jawab Abu Ayyub, “Ya, Rasulullah! Aku berasa gembira jika Engkau suka memakan buah yang kering, yang basah, dan yang setengah masak. Sementara itu, saya akan menyembelih seekor kambing untuk kamu bertiga.”

Kata Rasulullah, “Jika engkau menyembelih, janganlah disembelih kambing yang sedang menyusui.”

Abu Ayyub menangkap seekor kambing, lalu disembelihnya. Dia berkata kepada Ibu
Ayyub, “Tolong buatkan adunan roti. Engkau lebih pandai dalam membuat roti.”

Abu Ayyub membahagikan sembelihannya kepada dua. Separuh digulainya dan separuh lagi
dipanggang. Setelah selesai memasak, beliau menghidangkan makanan tersebut di hadapan Rasulullah dan sahabat baginda. Rasulullah mengambil sepotong daging gulai kambing , kemudian diletakkannya di atas sebuah roti yang belum dipotong.

Kata beliau, “Hai Abu Ayyub! Tolong hantarkan ini kepada Fatimah. Sudah beberapa hari dia tidak mendapat makanan seperti ini.”
Selesai makan, Rasulullah berkata, “Roti, daging, kurma kering, kurma basah, dan
kurma setengah masak.”— Air mata baginda mengalir ke pipinya.

Kemudian baginda bersabda ‘Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya! Sesungguhnya
beginilah nikmat yang kamu akan minta nanti di hari kiamat. Maka apabila kamu memperoleh nikmat yang seperti in bacalah “Basmalah” terlebih dahulu sebelum kamu makan. Bila sudah kenyang, bertahmidlah: “Segala puji bagi Allah yang telah mengenyang kan kami dan memberi kami ni’mat.”
Kemudian Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam bangun ingin pulang. Beliau berkata kepada Abu Ayyub,
‘Datanglah esok ke rumah kami!”

       Sudah menjadi kebiasaan bagi Rasulullah, apabila Seseorang berbuat baik kepadanya, baginda akan segera membalas dengan yang lebih baik. Tetapi Abu Ayyub tidak mendengar ucapan Rasulullah kepadanya. Lalu dikata oleh ‘Umar, “Rasulullah menyuruh kamu datang ke rumahnya esok.” Kata Abu Ayyub, “Ya, saya patuhi setiap perintah Rasulullah.”

Keesokan harinya ,Abu Ayyub datang ke rumah Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam . Baginda memberi Abu Ayyub seorang gadis kecil sebagai pembantu rumah tangga. Kata Rasulullah, ‘Perlakukanlah anak ini dengan baik, hai Abu Ayyub! Selama dia di tangan kami, saya lihat anak ini baik.”
Abu Ayyub pulang ke rumahnya membawa seorang gadis kecil.

“Untuk siapa ini, Abu Ayyub?” tanya Ibu Ayyub.

“Untuk kita. Anak ini diberikan Rasulullah kepada kita,”jawab Abu Ayyub.

“Hargailah pemberian Rasulullah. Perlakukan anak ini lebih daripada sekadar suatu
pemberian’ “ kata Ibu Ayyub.

“Memang! Rasulullah berpesan supaya kita bersikap baik terhadap anak ini,” kata Abu Ayyub. “Bagaimana selayaknya sikap kita terhadap anak ini, supaya pesan beliau terlaksana?”
tanya Ibu Ayyub.

“Demi Allah! Saya tidak melihat sikap yang lebih baik, melainkan memerdekakannya,”
jawab Abu Ayyub.

“Kakanda benar-benar mendapat hidayah Allah. Jika kakanda setuju begitu, baiklah kita
merdekakan dia,” kata Ibu Ayyub menyetujui. Lalu gadis kecil itu mereka merdekakan.

ltulah sebahagian kisah dicelah-celah kehidupan Abu Ayyub setelah dia masuk
Islam. Kalau dipaparkan celah-celah kehidupannya dalam peperangan, kita akan tercengang
mendengarkannya. Sepanjang hayatnya, Abu Ayyub hidup dalam peperangan. Sehingga dikatakan, 

“Abu Ayyub tidak pernah tidak hadir dalam setiap peperangan yang dihadapi kaum muslimin sejak masa Rasulullah sampai dia wafat di masa pemerintahan Mu ‘awiyah. Kecuali bila dia sedang bertugas dengan suatu tugas penting yang lain.’’

        Peperangan terakhir yang disertainya ialah ketika Muawiyah mengerahkan tentera muslimin untuk merebut kota Konstantinopel. Abu Ayyub seorang prajurit yang patuh dan setia. Ketika itu dia telah berusia lebih lapan puluh tahun. Suatu usia yang boleh dikatakan usia akhir tua. Tetapi usia tidak menghalanginya untuk bergabung dengan tentara muslimin di bawah bendera Yazid bin Mu’awiyah. Dia tidak gentar mengharungi laut, membelah ombak untuk berperang fi sabilillah. Tetapi tidak berapa lama dia berada di medan tempur menghadapi musuh, Abu Ayyub jatuh sakit. Abu Ayyub terpaksa beristirahat diperkhemahan, tidak dapat meneruskan peperangan kerana fizikalnya sudah semakin lemah.

           Ketika Yazid mengunjungi Abu Ayyub yang sakit, panglima ini bertanya, “Adakah
sesuatu yang kamu kehendaki, wahai Abu Ayyub?”

             Jawab Abu Ayyub, ‘Tolong sampaikan salamku kepada seluruh tentara muslimin.
Katakan kepada mereka, Abu Ayyub berpesan supaya kamu semua terus maju sehingga sampai ke jantung daerah musuh. Bawalah sayabersama-sama kamu. Kalau saya mati, kuburkan saya dekat tiang kota Konstantinopel!”



        Tidak lama sesudah beliau berkata demikian, Abu Ayyub menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia wafat menemui Tuhannya di tengah-tengah kancah pertempuran. Tentara muslimin memperkenankan keinginan sahabat Rasulullah yang mulia ini. Mereka berperang dengan gigih, menghalau musuh dari satu medan ke medan tempur yang lain. Sehingga akhirnya mereka berhasil menguasai setiap tiang (pelusuk) kota Konstantinopel, sambil membawa jenazah Abu Ayyub.

               Dekat sebuah kota Konstantinopel mereka menggali perkuburan, lalu mereka memakamkan jenazah Abu Ayyub di sana, sesuai dengan pesanan Abu Ayyub. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada Abu Ayyub. Dia tidak ingin mati kecuali dalam barisan termpur yang sedang berperang fi sabillah. Sedangkan usianya telah mencapai lapan puluh tahun. Radhiyallahu ‘anhu. Amin!!!


Oleh: Ahlu Nabil Huda
Sumber : KISAH KEPAHLAWANAN  SAHABAT  NABI
(Diolah dan dicetak semula)

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

1 comment:

  1. bestnya...!!! masyaALLAH.... bagusnya ahlu nabil huda nie.. semoga usaha anda diberkati ALLAH..amiin3... baru kenal sapa dia abu ayyub nie.. terima kasihla sapa yg post.. =) kira menang ke artikel nie??haha

    ReplyDelete

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers