Sejuk

in


Sejuk, tanganku cuba menggapai Saratoga yang aku kongsi dengan temanku. Erk, kedengaran agak kurang senonoh. Saratoga aku busuk, tidak berbasuh, begitu juga bantalku yang telah menjadi medium kultur untuk beberapa koloni hamba Rabb yang sangat seni. Semalam, aku baru tiba di bumi ini. Bumi yang dahulu suka benar aku sindir.


“Mungkin sahaja Allah hantar malaikat untuk kejut aku.” Aku gapai telefon bimbitku, cuba untuk mengetahui detik waktu. Oh tak lama lagi subuh. Tapi… aah malas dong mau tahajud. Facebook aku buka, terlintas artikel yang bikin aku sayup. Ya, aku harus bangun. Peluang jangan disia-siakan. Allahu Akbar Allahu Akbar. Satu peluang telah terlepas, peluang untuk menggugurkan dosa silam.Benar, masa itu tidak menunggu, andai engkau memilih untuk mencuri, nah terima sahaja padahnya kelak; sesal.


Angin pagi menghembus. Uhh sejuknya. Rinduku pada bumi ini terbit. Hatiku memuji Dia akan kelapangan bunyi di waktu fajar yang sudah pasti agak jarang disini. Hatiku senang, sehingga terukir senyum pada wajahku saat aku melalui laluan memori itu. Memori ke Gamek Ibrahim untuk bersembahyang Subuh berjemaah. Di Malaysia, perkara ini sangat sukar bagiku. Yalah, aku duduk di blok RC2, sedangkan surau yang hidup pada waktu Subuh hanya di RC1. Heh, alasan tak boleh belah. Apapun suasana itu penting. Untung kalian, biahnya baik, hatta bersusah ke masjid, terasa berbalas dengan lambakan jemaah. Hatiku tenang dalam bacaan al-Kitab yang tak berlagu.


Seusai Subuh, aku bingkas bangun. Segera aku ambil selipar, melangkah pulang ke rumah. Polis sedang berkawal di Kubry Abou Rish, flyover yang menyambungkan Munirah dengan Sayyidah Zainab dan Zenhom. Dengar cerita, hari ini ada muzaharat sempena lahirnya Fattah Al-sisi. Kalau dahulu, pasti aku cuak bila dengar ada muzaharat, tapi kini, cuba acu senapang dengan niat, mungkin saat itu aku baru gentar, cehh. Ya bumi ini mengajar aku tentang berani. Tentang kebergantungan kepada Tuhan yang Maha Melindungi Hamba-hambaNya. Sungguh, kagum aku pada orang Mesir kerana keberanian mereka. (walaupun kadang-kadang rasa agak over. Haha)


Jam 8.30am. Segera aku tunaikan misi aku mengeluarkan semua duit di bank. Dan seperti yang sudah dijangka, bank masih tutup. Mengeluh dengan sikap Arab Mesir yang cukup tidak endah mengenai masa. Inikah Islam? Dihadapanku, aku lihat kelibat lelaki 30an menunggu dihadapan bank. Berbeza denganku, dia kelihatan tenang. Jam tangan dipergelangan tangannya dia lihat untuk membidik masa terkini. Kemudian, al-Quran dikeluarkan dari koceknya dan dibaca. Sketsa yang jarang ada di Malaysia. Aku terasa diriku ditampar. Soalan “inikah Islam?” mengejek diriku. Aku hanya tahu mengeluh dan dia membaca Quran untuk mengisi masa. Kagum dan terus kagum.


Mesir, bumi anbia, ardhul kinanah. Dahulu aku aneh dengan mereka yang kerap memuji negara yang ketinggalan tahap ketamadunan dan mentaliti rakyatnya. Bagi aku, masyarakat ini ego sehingga hal kecil juga diperbesar, masyarakat ini bodoh dan ignoran sehingga kurang nilai “common sense” dalam diri. Tapi rupanya aku silap. Selama ini, akulah yang ego, bodoh dan ignoran kerana membutakan hakikat betapa banyaknya Mesir mengajar diriku. Nilai hidup yang sebenar, nilai kesusahan dan kesenangan dalam lingkung masa yang sama. Itulah manusia, sudah hilang baru tercari, sudah gagal baru nak sesal, sudah terbabas baru nak sedar. Sungguh, Mesir itu guru buatku.


Kawan, sungguh, tiada perlu kalian merasa rendah diri, kerana percayalah, ilmu datang dari Tuhan, dan bagiku, Mesir adalah antara tempat yang akrab dengan Tuhan atas karamah anbia dan solihin terdahulu. Yakinlah ilmu itu dimana mana. Hatta dibalik kegelapan memekat, pasti ada sedikit cahaya untuk kita melihat. Semuanya terletak atas diri kita untuk terus berusaha melihat sehingga bisa melihat atau pejamkan mata ketakutan dan terus-terusan dalam gelap. Moga Rahman dan Rahim Allah ke atas kita. Doakan kami di Malaysia bumi kontroversi. Heh.


Tinta:

Abdullah Azam bin Khairuddin
UiTM Sungai Buloh

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

0 comments:

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers