Travelog by nocturnalist - London-Paris -

in

Bismillahirrahmanirrahim..


Travelog  by nocturnalist.

Rabu, 29 Januari 2014.

Firman Allah dalam surah al mulk ayat 15 bermaksud:
 “Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi,maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya,dan kepada Allah jualah kamu kembali sesudah dibangkitkan”.

Aku meninggalkan bumi Kaherah dengan rasa berbaur. Perasaan gembira,sedih,bimbang menjadi satu. Kapal berbentuk burung itu aku naiki. KLM namanya. Aku pun tak tahu nama penuhnya.
Bumi Amsterdam menjadi saksi transitku. Perjalanan mesti diteruskan. Aku meneruskan penerbangan ke destinasi terakhirku, Heathrow.

‘Ah,hujan rupanya’,getus hatiku tatkala keluar dari King’s Cross Station. Hujan rahmat barangkali. 

‘Allahumma soyyiban nafian’,doaku di dalam hati.

Aku berdiri di hadapan YHA St Pancras,hostel yang bakal menempatkan aku dan 4 orang lagi rakanku selama 3 hari pertama di bumi Big Ben ini,lalu kaki melangkah masuk.

Hujan gerimis tidak membataskan niat kami untuk meneroka keindahan bumi London pada hari ini. Kami memulakan perjalanan ke British Library. Sangat besar dan mempunyai banyak tingkat. Terdapat satu sudut untuk mempamerkan kitab-kitab besar yang disimpan rapi. Ia diperbuat daripada kaca dan merangkumi keseluruhan tingkat bangunan Brtish Library tersebut. Aku mengabadikan kenangan di situ dengan mengambil beberapa keping gambar.

Peminat Harry Potter itu bukanlah aku. Tapi aku dikelilingi oleh mereka. Kami berpeluang untuk ke King’s Cross Station dimana terdapat satu platform yang aneh rupanya. Platform 9 ¾ diberi nama. Terdapat separuh troli melekat di dinding dan seekor burung hantu menghiasi platform tersebut.

Bumi London masih menangis.




 
                                                  Di hadapan British Library.


Khamis, 30 Januari 2014.

Subuh masih belum memunculkan wajahnya. Tiba- tiba salah seorang dari kami mengejutkan kami semua, katanya Subuh sudah hampir tamat waktunya. Aku perlahan-lahan membelek telefon bajet pintarku, ternyata masih belum Subuh. Aku memberitahu hakikat sebenar. Bagai hati digeletek tanpa henti,kami semua tertawa di pagi hari.

Warner Bros dijelajahi hingga ke petang. Dipercayai di sinilah terdapat set penggambaran Harry Potter. Banyak ciptaan hebat dan mengkagumkan terdapat di sini. Semuanya dicipta berdasarkan kepakaran, imaginasi minda dan hasil tangan pekerja kru produksi filem Harry Potter itu sendiri.
Namun, aku percaya tanpa kudrat dan iradat yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka,pasti itu semua tidak akan terjadi.



Jumaat, 31 Januari 2014.

Jadual hari ini sangat padat. Sepadat ikan mackerel dalam tin. Oh,itu hiperbola. Pagi itu kami ditakdirkan ke Big Ben Tower. Menara jam ini sangat terkenal dengan ketepatannya dan loceng besarnya yang mempunyai berat lebih 13 tan! Dari menara jam Big Ben, kami berjalan ke arah House of Parliament. Disebelahnya berdiri megah Victoria Tower.

Berhadapan House of Parliament terdapat sebuah patung ukiran beberapa orang tokoh terkenal. Yang paling menarik perhatianku adalah patung Nelson Mandela, si tokoh yang memperjuangkan tentang kebebasan dan anti apartheid. Patung- patung ukiran ini terletak berhadapan Westminster Abbey. Semua bangunan tersebut dibina berdekatan dan mengelilingi sebuah taman mini yang hijau dan indah.

Kami meneruskan perjalanan kami ke Buckingham Palace. Istana yang menjadi saksi pengisytiharan kelahiran si bakal Raja Britain, anak kepada Raja William dan Kate Middleton. Di sana, kami berkesempatan untuk menyaksikan pertukaran pengawal. Upacara ini bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh pelancong malah rakyat London itu sendiri! Sejak hampir pukul 9 pagi orang ramai sudah mula memenuhi ruang hadapan istana walaupun upacara bakal bermula pada pukul 11.30 pagi.

Tower of London dan Tower bridge kami terokai pada petangnya. Kedua-dua menara ini sangat berbeza pada zahirnya. Tower of London merupakan bekas istana lama yang pernah terbakar namun dibina semula sebagai salah satu tinggalan sejarah yang bermakna. Tower Bridge pula merupakan sebuah jambatan yang merentasi sungai Thames.

Dari Tower Bridge kami ke ‘syurga barangan berjenama’.‘Alah membeli menang memakai’, satu peribahasa yang sangat sesuai diberikan kepada mereka yang suka membeli dan memakai barangan berjenama dan berkualiti. Segala jenis barangan dari beg hingga pakaian boleh didapati di sepanjang jalan Oxford. Bagi aku,cukuplah sekadar menjamu mata sahaja.



Sabtu, 1 Februari 2014.

Malaysian Hall, London. Ya,itu tempat tinggal kami untuk baki 3 hari terakhir. Lebih kecil dari Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK). Terletak di pinggiran bandar Queensway. Sangat sukar dijumpai namun tidak mustahil. Kami sesat setiapkali ingin ke sana. Namun, kami berjaya membuktikan bahawa tidak semua perempuan itu buta peta.

Adat si pengembara akan membeli cenderamata untuk dibawa pulang dan diberikan kepada orang tersayang. Kami tidak terkecuali. Segala jenis cenderamata murah kami dapati ada terjual di Bayswater. Di sini juga terdapat beberapa restoran makanan halal.

Dari Bayswater kami ke sebuah taman yang sangat besar dan cantik. Hyde Park namanya. Taman Hyde ini merupakan salah satu daripada 8 buah taman diraja.

London sangat terkenal dengan Harrods,sebuah pusat beli belah yang terbesar dan eksklusif. Harrods mempunyai moto iaitu, Omnia Omnibus Ubique yang bermaksud ‘semua barangan untuk semua orang,di mana sahaja’.

Sekali lagi,aku masih menjamu mata sahaja di Harrods.


'Mentari pulang' di Taman Hyde



          
Ahad, 2 Februari 2014.

Muzium Madame Tussauds. Tempat pertama kami jelajahi pagi itu. Muzium ini menempatkan pelbagai patung karakter terkenal yang diperbuat daripada lilin. Hasil karya ini merupakan idea asli Madame Tussauds,seorang wanita tua yang sangat berbakat.Di akhir usianya,dia sempat mengabadikan kenangan terakhirnya dalam bidang itu dengan melakar patung lilin wajahnya sendiri pada usia 83 tahun.

Kami meneruskan aktiviti kami pada hari itu dengan menziarahi satu-satunya Masjid Besar di London yang dikenali sebagai Central London Mosque. Masjid ini bukan sahaja menyediakan ruang solat yang sangat selesa,namun terdapat juga muzium Islam dan kafeteria yang menyajikan makanan halal. Sementara menunggu waktu solat Zohor,kami menjamu selera dan bersiar-siar di sekitar masjid ini. Satu kejadian yang paling tidak dapat aku lupakan adalah apabila aku menyaksikan sendiri seorang muslimah british mengajarkan cara mengambil wudhuk yang betul kepada seorang hamba Allah yang ingin mempelajari tentang Islam. Aku sangat teruja dan kagum akan betapa indahnya pengamalan Islam di negara yang majoritinya beragama selain Islam.

Setelah selesai solat,kami ke Stadium Chelsea. Sekadar menemani dan meraikan minat rakan sejaulahku. Aku bukanlah peminat sukan bolasepak. Noktah.



Isnin, 3 Februari 2014.

Salah satu daripada tarikan lain yang terdapat di London ialah Eye of London. Kami dapat melihat pemandangan seluruh bandar London dari atas langit apabila menaiki London Eye tersebut. Seterusnya kami ke Trafalgar Square. Berhadapan Trafalgar Square terdapat sebuah bangunan yang diberi nama National Gallery Museum. Terdapat pelbagai potret dan hasil lukisan yang ditempatkan di dalam muzium tersebut.
British Museum menjadi tempat terakhir untuk kami lawati pada hari itu. Segala jenis bahan artifak dan sumber sejarah dapat ditemukan di muzium ini. Pelbagai jenis patung ukiran samada asli mahupun buatan juga terdapat  di sini. Aku tidak menyangka bahawa aku berpeluang untuk menyaksikan dengan mataku sendiri segala jenis bahan sumber sejarah yang dulunya hanya dibaca dan dilihat dari Buku Teks Sejarah seperti replika kepala Socrates.

Dengan izin Allah,segalanya mungkin bukan?



Selasa, 4 Februari 2014.

Hari yang dinanti akhirnya tiba. Kami meneruskan percutian kami ke Paris, kota cinta.
Kami menaiki Eurotrain untuk ke Paris. Walaupun agak penat,namun segala penat lelah kami terubat apabila dapat melihat sendiri keindahan kota Paris pada waktu matahari hampir menghilangkan sinarnya. Saat pawana menghembus asyik dan menampar lembut pipi kami,saat itu jugalah kami melihat menara Eiffel itu bertukar wajah. Dari warna kusam yang layak dipanggil besi buruk,kami terpesona dengan keindahan menara Eiffel pada waktu malam yang diserikan dengan lampu berwarna kuning keperangan. Memori hari itu sangat berharga dan tidak ternilai.



Rabu, 5 Februari 2014.

Pagi-pagi lagi kami ke Disneyland Park dan Walt Disney Studios. Dapat naik tiga rides yang mencabar sudah cukup untuk buat aku rasa loya,hampir muntah dan hypoglycemic. Aku takutkan ketinggian. Itulah hakikat.

Di Paris sangat banyak restoran kebab. Semuanya halal dan yang pasti sangat sedap dan menyelerakan.



                                                        Disneyland park,Paris.


Khamis, 6 Februari.

Kami mendaki anak tangga yang beratus-ratus bilangannya semata-mata untuk melihat matahari terbit di Bukit Montmarte. Namun,dek kerana cuaca hujan pada malamnya, sang mentari menjadi segan untuk memunculkan wajahnya. Hanya cebisan sinarnya yang sudah cukup untuk menerangi alam ini yang menonjolkan diri. Namun,hal itu tidak mematahkan semangat kami untuk melihat keindahan kota cinta, Paris dari atas bukit ini. Pemandangan indah tetap menjadi sajian mata kami pada pagi itu. Seterusnya kami ke kedai cenderamata di tepi jalan berdekatan Sacre Couer,sebuah gereja di atas Bukit Montmarte.


Musee du Louvre,sebuah muzium yang menempatkan pelbagai potret hasil karya pelukis terkenal termasuklah potret Mona Lisa. Namun, dipercayai potret Mona Lisa yang dipamerkan di Muzium tersebut adalah palsu dan potret asli sebenarnya telah disembunyikan dari tontonan umum. Dari muzium kami ke Arc De Triomphe, sebuah tugu yang berbentuk bangunan melengkung di tengahnya yang dibina oleh askar Napoleon setelah mereka berjaya menakluk bumi Eropah. Kami berjalan kaki sepanjang jalan Champs Elysee untuk ke Arc de Triomphe, di kiri kanan kami terdapat banyak kedai barangan berjenama dari Louis Vuitton hinggalah Marc Jacobs. Untuk penggemar macaroon, Laduree pastinya menjadi pilihan utama anda untuk ke sana dan menikmati pelbagai jenis perisa macaroon.






                                                                                 
                                                             Museum louvre, Paris.



Jumaat, 7 Februari 2014.

Percutian musim sejuk kami ke bumi Eropah ditakdirkan berakhir pada hari ini. Kami menaiki pesawat Air France tepat jam 12.50 tengahari untuk pulang ke tanah tempat di mana kami menuntut ilmu medik untuk baki 3 tahun setengah lagi. Segala memori indah dan kenangan suka duka kami di bumi Eropah tak akan aku lupakan dan akan terus terpahat kekal dalam lubuk sanubariku. Terima kasih Allah atas kurniaan kudrat dan iradat kepada kami. Alhamdulillah.



 



 Selamat tinggal Paris.


















Tinta penulis,

Nur Liyana bt Abd.Aziz

-Travelog TREC-

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

0 comments:

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers