Sekularisme : Ancaman Besar Ketulenan Islam

in

Sekularisme: Ancaman Besar Ketulenan Islam




Pada 11 Mei 2014 yang lalu, Biro Pembangunan Insan (BPI) GEN11US telah menganjurkan sebuah program berbentuk ceramah umum dengan penampilan istimewa al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Zulkifli bin Haji Ismail. Ustaz Zulkifli yang merupakan Mudir Pondok Baitul Qurra’, Melaka di Malaysia merupakan pengarang buku bertajuk ‘Ancaman Bahaya Sekularisme’ terbitan Baitul Qurra’ sendiri yang telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Ahad lalu, beliau telah berbesar hati untuk menyampaikan ceramah kepada warga Sayyeda Zainab sebagai salah satu slot ceramah beliau sepanjang ziarahnya ke Mesir.

Ceramah ini diadakan di Masjid Hashimiah, Abou Rish selepas waktu Asar. Kehadiran Ustaz Zulkifli pada kira-kira jam 4.30 petang diraikan dengan penuh teruja oleh para mahasiswa dan mahasiswi yang hadir petang tersebut. Ceramah yang membawa tajuk Ancaman Sekularisme: Serangan Pemikiran Moden bertujuan mengukuhkan kefahaman tentang Islam dan menyemai kasih terhadap Nabi Muhammad SAW.

Ceramah telah dimulakan dengan pengenalan mengenai fahaman sekularisme. Ustaz Zulkifli telah menerangkan bahawa pemikiran sekularisme bukanlah suatu perkara baharu yang wujud dalam ummah pada hari ini. Bahkan ia telah wujud sejak sekian lama dahulu, termasuklah pada zaman Mesir kuno dan telah dibongkarkan hakikat kepincangannya oleh para ulama terdahulu. Pemikiran sebegini membawa dasar andaian semata-mata dan bukanlah berlandaskan dalil yang nyata.

Lanjutan pengenalan sekularisme, beliau turut menekankan pecahan-pecahan pemikiran yang bertunjangkan sekularisme, termasuklah pluralism dan liberalism yang sedang berkembang biak di tanah air kita, Malaysia. Kesannya, ia telah membuka kebebasan pemikiran tanpa had, yang menjadikan fahaman bahawa agama itu bukanlah suatu yang mutlak. Implikasi yang lebih menyedihkan, falsafah sebegini hanya menggunakan andaian tanpa sumber yang sahih seperti Al-Quran dan hadis sebagai rujukan. Pelbagai bentuk penyelewengan para intelek sekularisme telah disenaraikan oleh ustaz secara ringkas.

Sepanjang ceramah ini, beliau sentiasa menitipkan pesanan berharga buat mahasiswa yang menuntut ilmu di Perlembahan Nil ini. Tuan Guru Ustaz Zulkifli menyeru seluruh mahasiswa  agar memanfaatkan semaksimum peluang untuk menghadiri majlis-majlis ilmu bersama para masyaikh di Al-Azhar, di mana peluang sebegini sukar diperoleh di tempat-tempat lain.  Selain itu beliau turut menggesa agar mahasiswa menuntut ilmu bersungguh-sungguh hingga dapat melahirkan inovasi moden yang bertunjangkan keimanan kepada Allah SWT.

Ceramah ini berakhir pada kira-kira jam 6.30 petang seusai sesi soal jawab bersama Ustaz Zulkifli.






“Syukur itu ialah memperkatakan tentang nikmat Allah SWT”




Biro Pembangunan Insan (BPI) GEN11US 2013/2014

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

1 comment:

  1. untuk menonton rakaman penuh, sila layari pautan berikut:

    https://www.youtube.com/playlist?list=PL44CkOKRu7vdpvOGhwu3wI2AGANuikOYQ&feature=mh_lolz

    ReplyDelete

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers