HADITH #25 : PELUANG-PELUANG KEBAIKAN

in


Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan): Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka." Baginda bersabda: "Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah." Mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala?" Baginda bersabda: "Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala."
        
(Riwayat Ahmad no. 21483 dan Muslim no. 1006)

Macam-macam iktibar.

Telah pun genap tiga minggu tempoh perkenalan Akira Toriyameem, 10, dengan teman sepengajiannya, Rusdi Ramlan, 11. Macam-macam hal sudah berlaku. Cerita suka yang semacam duka, cerita pelik jika diteliti terlalu lama. Ini cerita orang-orang lama, cerita tahun 1988. Zaman telefon belum cukup ‘pintar’ untuk menenggelamkan hikmah berinteraksi sesama rakan sebelah. Kisah mereka bermula di sebuah sekolah rendah yang koodinasinya betul-betul letaknya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur (tidak perlu dicari dalam peta). Dua minggu yang pertama, duduklah mereka dalam kelas 5 Dahlia, kelas pertengahan, meja sebelah-menyebelah tetapi tidak rapat sisi mejanya kerana belum benar-benar kenal, mudah kata belum boleh bertepuk tampar antara keduanya. Maka tidak banyak cerpen yang mampu terhasil daripada pengkisahan perkenalan mereka berdua dalam tempoh sesingkat itu.

Akira Toriyameem, lebih mesra dipanggil Meem, berbaka jepun daripada sebelah ibunya, baru pindah dari negeri asalnya ke tanah kelahiran ayahnya. Rusdi Ramlan pula sememangnya murid asal sekolah itu, terkenal dengan nama timangan Lan Tasik Banding, nisbah kepada tempat lahirnya. Hebat ibunya, natural birth dalam tasik terus. Lan lahir dalam keluarga kurang senang, jauh bezanya dengan Meem, kaya tahap diraja.

Masuk sahaja minggu ketiga persekolahan, keadaan mula berubah secara drastik. Hari demi hari jurang persahabatan antara mereka semakin nipis, semakin rapat. Lan sudah boleh terlupa pulangkan lima ringgit (tinggi nilai kuasa belinya pada zaman itu) yang dipinjamkan Meem kepadanya. Meem pula sudah boleh bergurau letak gam pada permukaan kerusi Lan sejurus sebelum waktu rehat berakhir. Maksudnya sudah lain nilai persahabatan mereka. Maka berlakulah beberapa babak berinspirasi tinggi sehinggakan kira-kira lapan buah cerpen berbentuk dialog mampu terhasil daripada kisah mereka. Tiga sahaja babak yang akan dipetik kali ini.

BABAK SATU : PERLUMBAAN DALAM BERSAHABAT

Dijadikan cerita bahawa pada minggu itu berlangsungnya hari sukan. Hari yang sangat penting kerana sistem pada ketika itu agak ketat dalam bab kesukanan membuktikan sekolah mereka itu sekolah sukan yang berprestij tinggi. Barangsiapa yang tidak cukup cerdas akan dibuang sekolah. Lan sendiri masuk ke sekolah itu menggunakan kuota biasiswa khas sukan murid-murid negeri Perak, Meem pula masuk guna ‘jalan belakang’ kawan ayah dia laluan pejabat tingkat 6 bangunan kementerian belia dan sukan.

Tiba pada acara kemuncak hari itu, acara Golek Gelung Rotan 50 Meter Selepas Menyusun Abjad ‘A-J’. para peserta perlu menyusun abjad ‘A’ sehingga ‘J’ di garisan permulaan terlebih dahulu sebelum mendapat gelung rotan yang berbeza radiusnya mengikut kepantasan menyusun abjad. Siapa lebih pantas, dia lebih layak mendapat gelung rotan saiz besar.

Perlumbaan bermula! Jalur mereka berdua sebelah menyebelah. Akira Toriyameem dilahirkan bijak genetik, berjaya menyusun abjad paling pantas. Manakala Rusdi Ramlan baru sahaja di susunan abjad ‘G’. Sebelum mula menggolek rotan, Akira Toriyameem sempat menoleh ke tepi melihat sahabatnya. terkejut melihat susunan Rusdi Ramlan, dia menegur.


Meem : Lan, antara D dengan F sepatutnya letak E. ABCDEF!

Lan : oh, terima kasih meem, aku terlupa, aku tak suka huruf E jadi aku tak perasan.

(Lan pernah trauma dimarahi ustazahnya kerana mendapat pangkat E empat kali berturut-turut bagi subjek Pendidikan Islam sehingga otaknya mula melupakan abjad E)

Meem : jom Lan, got to go!

Maka digoleklah gelung rotan itu oleh kesemua peserta dengan seberapa pantas yang mampu takutkan akibat dibuang sekolah jika terlambat. Bagaikan terkena penyakit lembu gila, akhirnya Lan berjaya menghabiskan perlumbaan itu di tempat kelima dengan kelajuan golekan pada kadar ‘150 rotation per minute’ walaupun menggunakan gelung rotan kecil.

Meem : wah macam pelesit, tahniah Lan! Dapat kejar 6 teratas juga.

Lan: fuh bahaya betul tadi. Kau kenapa tak tunggu aku tadi. Barulah orang kata menang bersama, kena buang sekolah pun bersama.

Meem : hahaha. Penat tak? Nah gatorade. Aku beli lebih tadi
.
Lan : eh, ini air kegemaran kau ni meem. Simpan lah.

Meem : sebab tu aku bagi kau.

Lan tersenyum hodoh kurang faham sambil menerima pemberian itu.

BABAK DUA : DUA TITIK EKSTREM

Puan Rafidah Azim, guru kelas, merangkap guru mata pelajaran pendidikan seni visual, berpesan supaya murid-murid menyelesaikan tugasan lukisan berwarna dengan pantas. Siapa yang dapat selesaikan dengan pantas serta cantik lukisannya maka dia mendapat ganjaran. Juga disertakan ganjaran kepada murid yang paling gigih usahanya. Lantas Puan Rafidah keluar meninggalkan kelas itu untuk ke kafeteria menunaikan rutin wajibnya; makan pagi sesi kedua.

Mendengar kata-kata gurunya itu, Rusydi Ramlan mengeluh lalu mengekori Puan Rafidah untuk mengadu perihal dirinya.


Lan: cikgu, nanti dulu, saya ada masalah.

Guru : ya Lan, katakan saja. Luahkan apa yang tak mampu ditelan.

Lan: saya sedih lah cikgu, mustahil saya dapat menandingi Meem untuk lukisan paling cantik.
Guru: kenapa pula begitu?

Lan: ya lah, pensel warnanya jenama LUNA RM 6.50 baru dihadiahkan ayahnya, saya hanya ada SEA LION RM 3 alatan dua tahun lepas.

Guru: Ramlan, semua orang diberikan kertas yang sama untuk melukis, Cuma bezanya Meem sahaja yang bernasib baik memiliki peralatan yang berkualiti. Ini seni sayang, saya sebut cantik, saya tak sebut warna siapa paling terang bukan?

Lan: pastinya yang lebih terang warnanya itu lebih cantik!

Guru: boleh jadi, tapi kan ganjaran utama untuk murid paling gigih usahanya? apa kata kamu kejar yang itu terlebih dahulu. Huhu.

Lan: huhuhu (tersenyum)

Guru: huhuhuhu

Lan: huhuhuhuhu

BABAK TIGA : BARANG UJIAN

Semua murid senyap membisu, kelas menjadi sunyi sehingga kipas laptop Puan Faridah pun jelas kedengaran berbunyi. Kelihatan berdiri tegap satu lembaga bermisai nipis di hadapan kelas 5 Dahlia. Rambutnya rapi ke tepi, sideburn paras tragus, berkemeja putih mutiara, tuck-in lebih tinggi daripada paras pusat, berseluar yankee potongan bell-bottom, size pinggang tidak kurang daripada 34 inci, dan bertali leher UITM biru gelap lima jari lebar.

Klasik, korporat, kemas. Hanyasanya sifat-sifat ini tidak mungkin terkumpul pada seseorang di sekolah itu melainkan kepada Tuan Yang Terulung Dato. Ku Jazlan bin Ku Syafie, guru besar sekolah itu. 


Dialognya mudah sahaja;

Guru besar : murid-murid sekalian, dua kelompok daripada kamu telah diberi tugasan pada minggu lepas, saya beri kamu RM 200, betul?

Murid-murid : …(mengangguk tanda setuju, sepatah pun tidak berbunyi)

Guru besar : baiklah, ketua kumpulan masing-masing, saya minta bangun, dan ceritakan tentang apa yang kumpulan kamu telah lakukan.

Ketua kumpulan 1 : minggu lepas tuan minta kami habiskan RM 200 dengan bijak, memuaskan, dan bermatlamat jauh. Jadi kami habiskannya untuk jamuan ringan semalam, dan kami semua berpuas hati!

Guru besar : dangkal.. (sambil menggeleng-geleng kepala tidak selesa dengan jawapan itu). Mana kumpulan dua? Nyatakan tindakan kamu.

Lan, ketua kumpulan 2 : (dengan tenang bingkas bangun menjawab) RM 200 itu kami sedekahkan kepada pihak masjid! Idea daripada Akira Toriyameem.

Guru besar: bijak, matlamat jauh, tapi adakah keputusan itu memuaskan semua ahli kumpulan?

Lan : tidak semua faham pada awalnya, tetapi  kami capai kata sepakat setelah memahami konsep sedekah jariah.

Guru besar tersenyum lebar sambil mencatat sesuatu di buku nota kecilnya.

Meem dan Lan berpelukan tanpa sebab.

-TAMAT-

Intipati hadis melalui cerita

BABAK SATU : PERLUMBAAN DALAM BERSAHABAT

“Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka…” – potongan mafhum hadis.

1) Kisah perlumbaan golek gelung rotan ini adalah sebuah analogi bagi suasana positif yang ditunjukkan oleh para sahabat di bawah anjuran ‘Fastabiqul khairat’, berlumba-lumba untuk kebaikan. Yang mana perlumbaan ini menjadi kewajipan kerana nasib yang menanti di hadapan garis penamat itu sudah pasti ditentukan oleh usaha daripada garis permulaan.

2) Manakala ada juga sikap para sahabat yang tidak dinyatakan di dalam hadis ini namun molek untuk diperingatkan (5:2) ; perbuatan Meem membantu Lan ketika dalam perlumbaan adalah bandingan mudah bagi konsep tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa.

3) Juga ayat (59:9) dalam perbuatan Meem menghadiahkan air kegemaran kepada Lan merupakan penafian secara mutlak tentang sikap pentingkan diri, sebagaimana dalam persahabatan adanya konsep itsar sesama bersahabat. (‘la itsar fi qurubat’. Itsar hanya berkecuali pada perkara utama sahaja)

BABAK DUA : DUA TITIK EKSTREM

“Dari Abu Dzar r.a : Sesungguhnya sejumlah orang dari sahabat Rasulullah S.A.W  berkata kepada Rasulullah S.A.W : “Wahai Rasululullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka.

Baginda bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma’aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah…” – potongan mafhum hadis

Tiada satu bahagian pun dalam dunia ini tidak dipasangkan dengan yang munasabah terhadapnya. Malah yang lebih kacip ialah dua titik beza paling ekstrem semacam contoh dua kutub tenaga, makin beza makin kuat tarikannya. Begitu juga mesti ada dalam kehidupan manusia, perbezaan yang tidak dapat dielakkan malah lebih utama untuk digandingkan antara keduanya; iaitu dalam kisah ini melibatkan golongan faqir dan golongan kaya.

1) Perbezaan itu sunnah kehidupan, dan setiap perbezaan itu ada panduan muamalah antara keduanya. Sebagaimana orang yang berharta sebagai pengeluar zakat, sunnahnya ada si faqir sebagai penerima zakat. Keharmonian interaksi inilah yang menjamin kemakmuran. Seperti harmoninya Meem dan Lan walau berbeza darjat.

2) Setiap letak duduknya keadaan ada sahaja ruang-ruang kebaikan dan ibadah yang boleh dikerjakan. Jalan kebaikan tidak dimiliki oleh sesuatu pihak sahaja. Dalam kisah di atas, yang diperhatikan ialah siapa paling berusaha mewarna, setiap orang ada peluang usaha itu. Soal siapa paling cantik hanya bonus sampingan.

3) Setiap karakter ada sifat mulia baginya jika dia mengerti. Contohnya Si kaya yang syakir, si fakir yang saabir, si muda yang tekun, dan si tua yang bijaksana.

BABAK TIGA : BARANG UJIAN TUHAN

“...dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah." Mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala?" Baginda bersabda: "Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala."
          
1) Setiap anugerah ke atas manusia adalah rahmat, juga merupakan bahan ujian daripada tuhan. Keadaan dalam bentuk nikmat atau musibah merupakan ujian versi pendek, ujian itu bertukar ganti bentuknya. Sifat merupakan ujian panjang, selagi belum mati, ia berulang tanpa henti. Dan setiap kali itulah jawapan bagi ujian itu dihitung tolak tambahnya. Kisah di atas menunjukkan RM 200 itu sebagai barang ujian yang diberi kepercayaan ke atas mereka untuk dihabiskan ke mana sahaja.

2) Hawa perasaan manusia ialah sifat. Marah, suka, sedih, benci, dan kasih kesemuanya ialah ujian yang berulang bagi kita. Ada tempat yang berpahala diletakkan rasa benci, ada keadaan yang haram kita gunakan perasaan benci. Membezakannya memerlukan kefahaman. Babak tiga menunjukkan kumpulan yang menghabiskan barang ujian ke jalan kebaikan (masjid) tidaklah memuaskan hati semua pihak pada awalnya. Jalan kebaikan jalan yang susah, ia berhajat kepada kefahaman yang lebih. Demikian juga sifat syahwat yang mustahil tiada pada manusia. Ujian maut bagi yang tidak mengerti. Senantiasa ada peluang dosa yang terbuka, namun ketahuilah ada juga ruang yang diredhai untuk ditumpahkan syahwat kedalamnya.

Tuntutlah ilmu. Orang yang sabar ada ganjarannya.

 -Abe Ijau-

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

0 comments:

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers