Jaulah Makam GEN11US

in


Pada 23 Januari yang lalu, sehari selepas warga GEN11US berhempas pulas mengharungi peperiksaan pertengahan tahun, Biro Sukan dan Aktiviti Luar GEN11US telah mengadakan satu program iaitu jaulah makam. Jaulah ini disertai oleh 41 orang akhawat GEN11US dan  dikendalikan dengan jayanya oleh barisan pengisi yang diketuai oleh Dr. Muhammad Ilman bin Abdul Razak. Antara objektif-objektif yang ingin diketengahkan dalam jaulah ini adalah mengeratkan hubungan antara ahli GEN11US, memupuk semangat kesatuan serta kerjasama dalam kalangan ahli dan barisan kepimpinan GEN11US, mengambil ibrah serta pengajaran daripada setiap makam yang diziarahi dan merehatkan minda sambil mengenali makam-makam wali, syeikh serta ulama’  muktabar Islam yang ada di Mesir.


Jaulah dimulakan dengan surah al-Fatihah dan taklimat ringkas dari Unit Disiplin dan Protokol jaulah, saudari Nurul Miza Shashieha binti Abdul Mutalib pada jam 8.30 pagi. Sebelum menaiki tremco ke makam-makam di sekitar kaherah, para peserta menziarahi makam Saiyidah Zainab.Tepat jam 9.00 pagi, para peserta menaiki tremco dan bertolak menuju ke destinasi pertama iaitu makam Imam Sya’rani. Jaulah diteruskan lagi dengan menziarahi makam-makam seterusnya di sekitar Kaherah. Antara makam dan tempat yang diziarahi adalah makam Imam Syahabudin ar-Ramli, makam Sultan Hanafi, masjid 4 mazhab, makam Sayyidah Nafisah, makam Sheikh Yahya Zakaria al-Ansari, makam Imam Shafie’, makam Sayyidah Fatimah al-Aina, makam Imam Laith,  makam Ummu Kalthum, makam Saidi Abu Dzhar Ghafari, makam Ibn Athaillah al-Askandari, makam Sheikh Kamaluddin, makam Abdullah Abi Jamrah al-Andulusi al-Mursi, kawasan bersuluk Sayidah Nafisah dan makam Wali Soghir.


Jaulah ini berakhir pada 4.45 petang dan pada jam 5.30 petang, para peserta tiba di destinasi kediaman masing-masing.  Besarlah harapan agar melalui jaulah ini akhawat GEN11US dapat mengambil ibrah serta mencontohi perjuangan para auliya. Semoga program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta serta  semua objektif yang digariskan mampu dicapai disamping mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah SWT.



- Biro Sukan & Aktiviti Luar-

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

0 comments:

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers