Cinta Itu Anugerah

in









Di sebuah negara islam yang berkat, Mesir bumi anbiya', ilmu yang tersembunyi di celahan debu, dan bunyi hon kenderaan yang bersahutan di jalanan, tinggal aku bersama sahabat seperjuangan sebagai anak rantauan mencari ilmu dengan penuh ketabahan.



Saat dan ketika peperiksaan tiba, aku akan pastikan restu ayah bonda menjadi adunan lengkap , menjadi senjata yang ampuh lagi jitu untuk bertempur di medan peperiksaan, tidak kira sesibuk mana aku menuntut ilmu, apabila di suruh ibu untuk melakukan kerja, tidak sekali aku menolaknya. Tersingkap di lubuk hatiku kepayahan dan kesulitan ibu membesarkan aku sewaktu kecil dengan penuh kasih sayang, ikhlas dan senyuman, tidak mampu untuk diukir dangan tinta dakwat mahupun renjisan air mata.



Detik waktu pantas berlalu, kini semuanya telah berubah, bukan lagi seperti dahulu, lebih-lebih lagi di kawasan baru, yang menjanjikan persaingan yang gitu. Aku kini melanjutkan pelajaran ke luar negara, dalam bidang perubatan di Mesir, setelah cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Di sana aku terkesima dalam suasana yang aneh. Ramai sahabat-sahabat yang hebat, ada golongan yang sangat cerdik pemikiran, dan hebat dalam semua aspek.




Sikap rajinku tidak seperti dahulu, pulang daripada kelas, minat belajarku lesap, aku lebih sibuk melayari internet, bermain permainan komputer, menonton cerita lawak di internet, dan selalu membuang masa. Oleh kerana sikap dan rutinku yang tidak terurus, keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang teruk. Kini ramai yang memintas, sungguh, aku terasa lemah semangat, putus asa dan hilang harapan.



Dalam pelajaran, ramai yang memintas, Semuanya bagai membenam bakatku dari menyinar seperti dahulu kala. Kalau dahulu pernah juga aku merasa seronok kerana mendapat markah tertinggi, kini semuanya hanya tinggal kenangan. Aku merupakan pelajar yang banyak cakap, lantas dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan pidato, syarahan dan bahas. Sungguh, kenangan di sekolah adalah sangat indah.



Kini, aku hanya sekadar terduduk, termenung, bermuram dan berduka, tiada pencetus untuk aku kembali hebat laksana dahulu kala. Aku kini bagai peniaga buruh kasap, hujungnya hilang pangkalnya lesap, bagai melukut ditepian gantang, disimpan buruk dibuang sayang, yang bermaksud, sesuatu yang berharga dan bernilai, tetapi tidak berguna mahupun bermanfaat.



Panahan derita hati makin meruncing setelah mengetahui keputusan ujian akhir tahun yang mengecewakan, aku tahu, ibu ayah meletakkan harapan yang tinggi padaku, terkadang air matanya menitis memikirkan harapan ayah bonda yang telah disia-siakan. Aku hanya tertunduk layu bermuram durja, tidak tahu apa yang perlu dilakukan mengubati hati yang sengsara. Hanya sekadar bertindak dengan hati , selemah-lemah iman.


Dalam kedukaan yang menusuk jiwa dan hati, aku menghantar pesanan ringkas kepada ibu dan ayah, dengan harapan, dapat mengubati harapan yang telah aku sia-siakan.:



maafkan adik..ayah dan bonda..


mesti ayah dan bonda kecewa dengan semangat anakanda yang berubah bak roda..


dah cuba dan mencuba tapi tak kunjung tiba..


mana taknya, anakanda ini lemah tak bermaya..

hanya bait-bait kata mampu dinukil pengubat malu di dada ,


maaf ayah dan bonda..
anakanda tak sengaja..
jatuh tersungkur , terseret malah terperosok di dunia nyata..
hanya menanti hadirnya semangat datang membara..



tidak mengapa dikau kecewa
anakanda cuba bangkitkan semangat yang tak bermaya..
kerana malu dengan jasamu yang tak berbalas lagi di dunia..


anakanda sangat mengharapkan restu dan doamu ayah dan bonda..


sebagai bekalan rindu mengubat duka yang membengkak di jiwa..


maafkan anakanda...


Lantas dibalas ibuku:


tidak mengapa nak....kadang-kadang kita dah usaha..Allah tidak bagi kejayaan itu sekarang, mungkin Allah lewatkan kejayaan sebab nak bagi adik rasa kemanisan pada saat-saat akhir..semua yang terjadi ada hikmah..



Tiba-tiba muncul sahabatku, selangkah demi selangkah mendekatiku yang diberi hadiah musibah dari Allah , dia sedar sahabatnya insan yang disayangi Allah, satu demi satu ujian menjadi santapan, masih terhias di wajahnya senyuman meskipun hatinya rentan dihiris ujian.



''fi.., kenapa ni? kalau ada apa-apa ceritalah pada ana, kalau ana boleh tolong, insyaAllah ana tolong, jangan segan dengan ana ye.. kita datang Mesir ni satu bahtera, ana nak kita pulang ke Malaysia pun satu bahtera, please enta... I 'm ready to help you '', bicara yang terungkap di bibir sahabatku, sambil mengusap bahu bersama senyuman yang terukir di wajahnya.



''ermm.. tak ada apa-apa... ana okay, enta jangan risau ye, terima kasih kerana ambil berat '', jawabku seakan menolak tawaran baik sahabatku.



''Kalau macam tu, tidak mengapalah, tapi ana nak enta tahu... ana sayang enta macam adik ana sendiri, kita ke sini satu bahtera, ana nak kita pulang satu bahtera, dari syurga kita turun ke bumi satu bahtera, meskipun waktu tidak sama, ana ingin sangat kita kembali ke syurga satu bahtera.


Ingat tak dulu kita seramai 307 orang bersama sahabat Jordan datang bersama satu kapal terbang??saat tu bercampur baur, sedih dan gembira, kita lambai mak ayah kita, sambil pelukan mereka..mak ayah meniupkan harapan yang tinggi untuk kita galas..


tuhan sahaja yang tahu betapa payahnya kita menahan air mata dari menitis ketika itu, enta ingat lagi tak , tuhan sahaja yang tahu kesusahan kita menahan air mata lelaki daripada menitis ke bumi,


tuhan sahaja yang tahu betapa sebaknya hati bila melihat seorang ayah yang tidak pernah menangis, menitiskan air mata kerana berpisah dengan kita, semua tu segar dalam ingatan ana, ana nak enta tahu, I will never leave you alone...'' kata sahabatku sambil terukir sebutir senyuman semanis tebu. Lantas, aku memeluk sahabatku penuh erat, terasa pilu dan sayu terkenangkan sejarah silam yang indah dan syahdu. Aku bersyukur dikurniakan sahabat yang baik dan memahami.



Suatu hari, setelah pulang kuliah, aku terbaring di katil, mengenangkan dugaan demi dugaan yang menimpa. ''ya Allah...apa nak jadi dengan aku ni?" semua serba tak kena. Lalu aku tangkas bangun menuju ke komputer riba, melayari muka buku. Aku perlukan seseorang untuk meluahkan segala isi hati terpendam yang tidak tertahan lagi. Dahulu aku pernah rapat dengan seorang guru, Mazlina namanya. Maka susunan kata dinukil buat tatapan guruku:


Hanafi:


''Assalamualaikum..


Cikgu...
terima kasih banyak, saya bersyukur Allah pertemukan kita dahulu , cikgu mengajar saya erti semangat dan azam yang padu untuk terus berusaha, sejak cikgu didik saya dulu, banyak kata semangat dan nasihat yang cikgu beri, hingga saya berjaga sepanjang malam ulangkaji,baca kamus dan buat latihan..


cikgu...


sekarang saya dah tak rajin macam dulu..saya bukan Hanafi yang dulu..


saya tak setabah dan secekal dulu cikgu...


saya lemah dan longlai cikgu, saya tidak secemerlang dahulu..
cikgu doakan saya ,


mungkin banyak dosa saya kat Allah, saya dah cuba sebaik mungkin di sini, ketika saya malas, saya selalu bayangkan cikgu sedang marah saya, saat itu baru rajin semula , kenangan belajar bersama cikgu dahulu akan tersemat dalam hati sampai bila-bila...
besar sangat martabat cikgu di sisi agama..


Riwayat Tarmizi:
semua dilangit dan bumi, serta ikan dilautan bahkan semut di lubang berselawat kepada orang yang mengajar kebaikan kepada orang lain...''



Wajahku kian basah dikala jari menari di papan kekunci, mata semakin merah kesan laluan hangat air mata yang membasahi pipi, tersedu-sedu menahan sebak mencari penguat diri, seakan petanda kebangkitan mula kembali.




Selang beberapa hari, warkah berlagu pilu mula dibalasi, sambil mengangkat wajahku yang tertunduk layu, ukiran senyuman yang terbit semanis tebu, aku membaca penuh teliti amanat yang diberikan tanpa ragu.


Cikgu Mazlina:


''Waalaikummussalamwarahmatullah.. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkatimu, anakku. Cikgu tersenyum dan tersentuh membaca setiap bait kata yang Hanafi tulis. Cikgu sentiasa doakan Hanafi berjaya di Dunia dan akhirat. Cikgu nak tengok kamu jadi pelajar terbaik dan bawa balik Anugerah Pelajar Terbaik ke Malaysia, I know you can do it.


Kamu perlukan tolakan yang kuat untuk melonjakkan kamu. Cabaran menjadikan manusia hebat. Cabar diri sendiri untuk menjadi terbaik. Cikgu tiada silap mata untuk buat kamu berjaya, cikgu cuma ada ilmu untuk dikongsi dengan anak bangsa. Teacher sangat bangga dengan Hanafi, ''you just go on and no more looking back''.


Walau jatuh, tetap bangun, biar bertongkatkan tangan, terus melangkah. Ingat kejayaan hari esok, dimulakan dgn langkah pertama hari ini. ''Practice make perfect''. Cikgu maafkan Hanafi zahir, batin, Dunia dan akhirat. Teacher benar-benar berharap agar Hanafi terus berjuang demi Allah.. Apa-apa yang kita lakukan adalah untuk Allah. Allah nak kita berjaya menjalankan amanah sebagai manusia.''



Dalam keasyikan ukiran senyuman melebarkan pipi, kehangatan semangat yang membara bak api, dan strategi yang sistematik disusun rapi, air mata lelaki mula menitis menyentuh bumi, bagai sukar dibendung lagi, wajah yang tertunduk layu kini mula berseri, dibasahi air mata pembasmi duka di hati.



''Ring, ring, ring''.... deringan yang memecah sunyi, aku mendapat panggilan daripada akhwat yang tidak dikenali,


'' Hello... ni Hanafi ke? Boleh tak ana nak minta enta jadi musyrif ke kelas tafaquh malam ni?'' terkulai suara ayu akhawat , bagai sukar ditolak insan bergelar lelaki, terkulai layu singgah di hati. Gemuruh singgah melingkari hati, panggilan dijawab penuh teliti.


'' hrmm, it complicated to say... hurrmm... tengoklah nanti.... hrmmm..macamane ek... errgh.. insyaAllah boleh kot..rumah enti kat mana? awalnya telefon....'' jawabku.


''eh.., etika musyrifkan enam jam awal, rasanya dalam lingkungan 7 malam ye... boleh kan?? rumah ana dekat sebelah kedai makan Abu rish..'', sambung akhawat tadi..


'' boleh, boleh, boleh, boleh... insyaAllah..'' jawabku tanda setuju.



Sistem musyrif satu sistem keselamatan yang dilaksanankan oleh pelajar Mesir, sebagai langkah berjaga-jaga sewaktu keluar malam, saudara lelaki menemani sahabat wanita keluar dari rumah di waktu malam, mengikut etika-etika yang ditetapkan. Biasanya musyrif akan dihubungi 6 jam awal, kecuali jikalau keadaan terdesak.



Ketika di kelas tafaquh yang turut dihadiri, aku duduk di satu sudut terpencil, menanti hadirnya bait kata yang mampu mengetuk pintu hatiku untuk bangkit kembali.Seluruh pandangan mata tertumpu di hadapan, melihat gerak geri ustaz yang tenang dan perlahan. Ketika kelas berlangsung, satu hentaman kuat merentap ruang hatiku.., di kala ustaz membaca hadis:



"...Bila kamu mendekati Aku satu jengkal, Aku mendekatimu satu hasta. Bila kamu mendekati Aku satu hasta, Aku mendekatimu satu depa. Bila kamu datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, Aku datang kepadamu berlari-lari."[Hadith Riwayat Bukhari]



kemudian, ditambah lagi potongan ayat al-quran yang bermaksud:



"Jika hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku, sesungguhnya Aku adalah amat dekat, Aku menjawab permintaan yang diserukan kepada-Ku jika mereka menyeru, maka terimalah segala arahan-Ku, dan berimanlah kepada-Ku, agar mereka beroleh kemenangan." (Al-Baqarah:186)



Nafasku seakan terhenti, injap jantung seakan terkunci, setelah bait kata singgah membuka pintu hati. Aku langsung tidak menyangka majlis ilmu ini ,membuka tirai hati yang sekian lama terkunci, setelah pesanan guruku menjengah layar keinsafan dilubuk hati . Bagai tidak tertahan mata ini, semakin kemerahan, terasa seakan basah pipi ,setitis demi setitis tumpas menyentuh bumi, terus mengalir membasahi pipi. Hanya terkaku dan menyendiri melayan sebak yang membuak.



Air mata penyesalan yang mengalir umpama sungai yang mencuci kekotoran hati , ibarat sekuntum mawar merah dipupuk embun pagi, lalu disinari suria indah bak pelangi, begitulah jiwa murni seseorang manusia yang ingin kembali pada Illahi. Aku bersyukur kepada illahi, atas nikmat cinta yang diberi.



Di suatu malam yang sunyi , aku terbangun di awal pagi, dengan pilu yang membuku, aku duduk bersimpul penuh tawaduk ,didahului dengan wuduk , menadah tangan penuh khusyuk, terbayang dosa dan noda serta tindak tanduk, yang dahulu dilakukan tanpa malu dan penuh seronok. Tangan ditadah penuh harapan, agar ibadat diterima tuhan. Tuhan sahaja yang mengetahui keindahan kembali ke pangkalan.



Sejak dari itu, aku mula mengatur langkah, gerak geriku tangkas dan penuh semangat, aku tidak sanggup lagi untuk tewas, keranaku tahu lahirku ke dunia sebagai juara. Semuanya sebab apa? Sebab kegagalan! Bangkit dari tersungkur, bangun dari terperosok, tersenyum dari muraman yang berpanjangan, dan roh perjuangan membara mencari tinta kejayaan yang diidamkan.



Kegagalan bukan pemusnah! Kegagalan bukan raja segala gundah! Kegagalan bukan bererti titik noktah! Tapi, satu permulaan langkah untuk istiqamah bermujahadah! Terus maju bertawakal kepada Allah, jangan bersedih, Allah bersama kita setiap detik dan ketika.



. Aku tahu, tidak kira apa jua keadaan, hubungan dengan Allah perlu di jaga. Aku kini cuba mendekatkan diri kepada tuhan, aku cuba didik diri bangun tengah malam menunaikan solat sunat, aku ingin menjadi kuat persis para sahabat Rasulullah, aku tidak sabar ingin mengadu segala masalahku pada Sang Pencipta, hatiku mula jatuh cinta dengan pada si Dia. Al-quran menjadi sahabat karibku walau dimana jua aku berada .Aku mula terasa tenang, dan gembira dengan anugerah cinta yang Allah berikan . Terbuktilah ''Cinta Itu Anugerah'' , buat insan yang berusaha mencari redha Ilahi.



“Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan zikrullah (mengingati Allah), ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenang.” (Al-rad :28)''



"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman : (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".


Kesimpulannya, sudah terbukti cinta itu anugerah, dari Allah kepada hambanya, tanda kasih sayang dari pencipta, erti hidup pada memberi, sahabat kepada sahabat, mahupun makhluk kepada makhluk. Usah gusar musibah melanda diri, kembali dekati Ilahi. Anugerah cinta itu hak milik Allah, kenikmatan bercinta dengan pencipta adalah nikmat terindah yang dikurniakan Allah kepada makhlukNya.



Carilah cinta dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, pohonlah agar Allah beri kekuatan untuk kita layak menikmati cintaNya, kerana sesungguhnya, benarlah cinta itu anugerah, bukan menunggu dengan pasrah, tapi mencari dengan penuh tabah dan pengharapan yang penuh pada Allah. Semoga hidup kita diterangi sinar taufiq dan hidayah untuk bertemu di syurga yang kekal abadi. Letak dunia di tapak tangan, letak akhirat dalam hati , sibukkan diri dengan akhirat , dunia akan ikut dengan sebaik-baiknya, dunia itu alat, akhirat itu matlamat, matlamat untuk bahagia selama-lamanya disana bersama yang tercinta.


-MHS-


GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

2 comments:

  1. "Letak dunia di tapak tgn, letak akhirat dalam hati, sibukkan diri dgn akhirat, dunia akan ikut dgn sebaik-baiknya.."

    ilike this quote!

    ReplyDelete
  2. panjang bebenor..dengan cover background hitam..
    hilang mood nak baca

    ReplyDelete

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers