Dengan
nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Dari Abul ‘Abbas ‘Abdullah bin ‘Abbas (r.a.) ia
berkata,
“Pada suatu hari aku pernah berada dibonceng
Rasulullah saw, lalu baginda bersabda, “Wahai anak muda! Sesungguhnya aku akan
mengajarkan beberapa nasihat kepadamu. Jagalah
Allah, nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau mendapatiNya
berada di hadapanmu. Jika engkau meminta, mintalah kepada Allah. Dan jika
engkau memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah
apabila suatu kaum telah berkumpul untuk mendatangkan manfaat kepadamu dengan
sesuatu, maka mereka tidak bisa
memberikan manfaat kepadamu kecuali dengan sesuatu yang Allah telah tetapkan
untukmu. Dan seandainya mereka telah berkumpul untuk menimpakan bahaya
kepadamu dengan sesuatu, maka mereka
tidak dapat membahayakan kamu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan
bagimu. Pena-pena (pencatat takdir) telah diangkat dan lembaran-lembaran
(catatan takdir) telah kering.”
(Diriwayatkan
at-Tirmidzi, dan ia berkata, “Hadith ini hasan shahir.”)
Dalam
riwayat selain (riwayat) at-Tirmidzi,
“Jagalah Allah, nescaya engkau mendapatiNya ada di
hadapanmu. Kenalilah Allah di saat masa
lapang, nescaya Allah mengenalimu di saat susah. Ketahuilah, bahawa apa
saja yang luput darimu, maka tidak akan pernah menimpamu. Dan apa yang
menimpamu, maka tidak akan pernah luput darimu. Ketahuilah bahawa pertolongan
itu bersama kesabaran, kelapangan itu
bersama kesulitan, dan bersama kesulitan itu ada kemudahan.”
Ibnu al-Jawzi
pernah berkata,
‘Alangkah ruginya bagi mereka yang mengabaikan hadis
ini, dan hanya mempunyai pemahaman yang sedikit mengenai maknanya’
Oleh yang
demikian, seruan terhadap seluruh individu muslim, agar dapat meluangkan masa
untuk meneliti kandungan hadis ini dan menghadam sebaiknya.
Hadis ini
mengangkat 3 tema utama:
Pembentukan generasi beriman
Allah sebagai tempat bergantung harap dan tempat
berlindung
Manfaat dan musibah hanya datang dari Allah
Sebelum
menelusuri lebih dalam mengenai kandungan hadis, mari kita lihat pangkal hadis
ini. Rasulullah saw telah menarik perhatian Ibn ‘Abbas dengan ayat “Wahai anak muda, sesungguhnya aku akan
mengajarkan beberapa nasihat kepada kamu”.
Bersandarkan
kalimah “Wahai anak muda”, maka Ibn ‘Abbas menyedari bahawa Baginda saw sedang bertutur kepadanya.
Ucapan Rasulullah saw diteruskan dengan “Sesungguhnya aku akan mengajarkan
beberapa nasihat kepada kamu”. Tika itu, Ibn ‘Abbas mengetahui bahawa Rasulullah akan menyampaikan sesuatu yang
penting kepadanya lalu memberikan sepenuh perhatian terhadap intipati
kata-kata Baginda yang seterusnya.
1. ‘Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu’.
Bagaimana
caranya untuk ‘menjaga Allah’?
Begini..
-
Melaksanakan kewajipan yang
telah ditetapkan oleh Allah
-
Mematuhi segala perintahNya
-
Meninggalkan segala laranganNya
Ini termasuklah..
-
Menjaga solat fardhu dan
melaksanakannya dengan sepenuh hati
- Menjaga pancaindera kita yang
merupakan pinjaman oleh Allah. Maka sanggupkah kita mencemari nikmat tersebut
dengan melakukan sesuatu yang dimurkaiNya?
-
Menjaga pemakanan, harta benda
dan urusan seharian kita halal dan berlandaskan syara’
-
Menjaga hati dan diri daripada
terlibat dengan maksiat. Sekiranya telah melakukan maksiat, hendaklah disusuli
taubat dan memperbanyak amalan kebaikan (rujuk hadis 18)
Sekiranya kita
menjaga hak Allah, insyaAllah, ‘nescaya Allah menjagamu’. Apakah contoh
penjagaan Allah terhadap kita?
-
Allah menjaga dan melindungi hambaNya di dunia dan urusannya di
dunia. Ini termasuklah Allah menjaga kesihatan dan
memelihara pancainderanya. Allah memberi
peluang kepada hambaNya untuk menikmati segala kurniaanNya di muka bumi ini.
Walaupun usia semakin bertambah, Allah masih ganjarkan dengan kesihatan fizikal
dan kecerdasan mental. MasyaAllah.
Malah Allah juga memelihara harta dan keluarga daripada sebarang
bencana dan mudarat. Dan jika seseorang itu memelihara hak Allah pada usia
remajanya, Allah akan memelihara usia dewasanya.
Abu Tibb al-Tabari pernah ditanya oleh anak muridnya, bagaimana
beliau boleh kekal sihat walaupun usia sudah menginjak tua? Beliau menjawab “Inilah kaki dan tangan kami. Kami telah
manjaganya daripada melakukan dosa pada usia remaja kami, dan Allah telah
menjaganya pada usia tua kami”.
-
Allah menjaga agama dan iman hambaNya.
Allah tidak mengizinkan hati hamba yang suci itu daripada sebarang pengaruh dan
anasir yang mampu menggoyahkan imannya. Allah akan terus memberikan petunjuk
agar hambaNya sentiasa berada di jalan yang benar tanpa ragu-ragu.
Mungkin kita tidak menyedari, saat apabila Allah menjaga agama kita.
Pernahkah pada suatu ketika, kita teringin untuk melakukan sesuatu atau ingin
ke suatu tempat, namun terdapat halangan seolah-olah tidak mengizinkan kita
melakukannya? Ketahuilah, Allah sedang
menjaga diri kita dari sebarang perkara yang tidak elok yang mungkin tidak
terjangkau oleh diri kita sendiri.
[gambar : The Muslim Show]
2. ‘Jagalah Allah, nescaya engkau mendapatiNya ada
di hadapanmu’
Sekiranya kita
memenuhi segala kewajipan yang Allah telah taklifkan terhadap kita, maka kita
akan mendapati diri kita berada dekat dengan Allah. Allah sentiasa dekat dengan hambaNya dengan memberikan petunjuk,
perlindungan dan kemenangan.
“Dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat
lehernya”
(al-Qaaf
: 16)
Apabila kita
sentiasa mengingati Allah di saat kita berasa senang dan selesa, maka Allah
juga akan mudah mengingati dan membantu kita dalam saat susah dan sempit.
Sungguh kasihan jika terdapat golongan yang hanya merintih memanggil Allah di
saat kesempitannya, walhal meraikan kegembiraan yang dikecapinya tanpa
mengingati Allah.
3. ‘Jika engkau meminta, mintalah kepada Allah’
Meminta dan
mengharap pertolongan dari Allah merupakan perkara asas dalam pengukuhan tauhid
individu. Bahkan, kita sering meminta pertolongan dariNya setiap kali dalam
solat, dalam surah al-Fatihah,
“Hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada
Engkaulah kami mohon pertolongan”
Hadis ini
menggariskan peri penting untuk kita berdoa dan sentiasa memohon perlindungan
dan pertolongan kepada Allah tidak mengira waktu. Ini juga menunjukkan
kebergantungan kita hanyalah kepada Allah lebih-lebih lagi dalam ibadah kita.
4. ‘Mereka tidak mampu memberikan manfaat dan
mudarat kepada kamu, kecuali dengan sesuatu yang ditetapkan Allah untukmu.
Allah telah
menukilkan semua yang akan berlaku di dunia ini, di Luh Mahfuz. Ketetapan ini
termasuklah perkara yang berada di luar kemampuan kita untuk mengelaknya,
seperti jatuh sakit, kehilangan orang tersayang dan dihimpit kesusahan hidup.
Tanggungjawab
kita sebagai hamba, adalah untuk berdepan dengan ketetapan ini tanpa berasa
lemah. Redha iaitu menerima segala ketentuan Allah dengan tenang, adalah pengiktirafan darjah tertinggi bagi
seseorang individu yang menerima takdir Allah, sama ada yang baik atau
sebaliknya. Apabila ditimpa musibah, kita tidak sewajarnya menjadi hilang
pertimbangan sehingga mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa kepada
kemurkaanNya.
Qadar Allah
terbahagi kepada dua:
-
Qadar Mubram.
Ketetapan yang tidak dapat kita elakkan. Dalam hal ini, sewajarnya
kita redha dan sabar menerima ujian dariNya. Contohnya, kematian.
-
Qadar Mu’allaq.
Keadaan
yang mampu kita ubah berdasarkan faktor dan sebab ia berlaku. Contohnya
kelalaian dan kemalasan kita.
Menurut Tafsir
al-Qurtubi, takdir yang tertulis di Luh Mahfuz, mampu diubah oleh Allah sesuai
dengan kehendakNya. Malah, doa dan perbuatan baik juga mampu mengubah ketetapan
tersebut. Ini disandarkan dengan sepotong hadis Rasulullah saw,
“Tiada yang mampu mengubah takdir selain doa, dan
tiada yang mampu memanjangkan umur kecuali perbuatan baik”
(
Riwayat Tirmizi)
5. ‘Kelapangan itu bersama kesulitan dan bersama
kesulitan itu ada kemudahan’
Musibah dan
mehnah terhadap muslim mampu membuatnya terus lemah dan berasa sempit. Walau
bagaimanapun, sekiranya dia bermuhasabah, yakin dengan takdir Allah serta tidak
berputus asa, maka Allah akan mendatangkan kepadanya jalan keluar.
Sirah telah
merakamkan pelbagai ujian menimpa para nabi terdahulu, agar kita mengambil
pengajaran daripadanya:
-
Anak Nabi Adam as (Qabil dan
Habil)
-
Nabi Nuh as dengan bah besar
-
Nabi Ibrahim as dibakar dan
saat menyembelih anaknya Nabi Ismail as
-
Nabi Musa as ketika dikejar
Firaun dan tenteranya
Betapa indah aturan
oleh Allah, apabila hambaNya ditimpa kesulitan, bukan sahaja diberi jalan
keluar, malah dipermudahkan pula urusan hamba itu. Apabila seseorang hamba bertawajjuh (menumpukan hati kepada Allah)
dengan lurus dan ikhlas, maka kesempitannya akan dihilangkan oleh Allah.
Kesimpulan
Hadis ini
mendidik kita cara untuk hidup bahagia dan bebas dari belenggu kesempitan dan
kesulitan. Melaksanakan segala perintahNya, menyembah Allah dengan sepenuh
hati, dan redha terhadap segala ketentuannya merupakan jalan keluar kepada
kehidupan yang stress dan muram.
Family first, bring your heart home.
Ad-Deen first, bring your heart to Allah.
Biro Pembangunan
Insan GEN11US 2013/2014
0 comments: