[FE] Aku Muslimah, berperanankah aku?

in

Bismillahirrahmanirrahim

“Dari Abdullah bin 'Amr RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat.”

(HR Bukhari)

Setiap yang diciptakan Allah itu tiada yang sia-sia meskipun dizalimi, hak dicerobohi, ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan walau secebis, tiada nilaian dan seringkali hanya dijadikan alat untuk memuaskan hawa nafsu kaum lelaki suatu masa dahulu.

Namun, Islam datang membawa rahmat menyelubungi alam, darjat diangkat, maruah dipelihara, dihargai dan dipandang mulia dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga dijadikan "sebaik-baik hiasan di dunia adalah wanita solehah"

Meskipun dirimu sering dipandang lemah, mudah diperdaya dan sering dipinggirkan tetapi itu semua tidak pada seorang wanita solehah yang memiliki iman yang teguh kepada Allah dan RasulNYA. Kerana dalam diri wanita solehah itu terkandung 1001 peranan yang tidak mungkin digalas oleh kaum sebaliknya, kaum Adam.

Hamba Allah

“Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan”
(Surah An Nahl ,ayat 97 )

Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita , keindahan apatah lagi harga diri kecuali dengan beriman kepada Allah dan mengikuti ajaran RasulNYA.

Andai kafir terhadap Allah, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutannya, maka dialah cermin wanita murahan , hina dan terbuang. Pada saat itu hilangkan sinar kecantikan seorang wanita itu meskipun berkalungkan emas dan permata, bermahkotakan mutiara yang termahal di dunia.

Lihat semula sejarah Rabiatul Adawiyah, seorang wali Allah yang sentiasa mengabdikan diri kepada Allah. Diuji dengan kematian kedua ibu bapanya pada usia yang masih muda, diperhamba oleh seorang majikan yang bengis orangnya.

Namun, cintanya kepada Allah tidak diabaikan tatkala siangnya melakukan segala perintah tuannya dan malamnya dihabisi dengan beribadah kepada Allah. Sehingga suatu malam, berlaku keajaiban dimana majikannya melihat satu cahaya dari biliknya, lantas dimerdekakan si Rabiatul Adawiyah.

Kesempatan itu diambil untuk mengabdikan dirinya kepada kekasihnya yang Esa.

Itu adalah Rabiatul Adawiyah yang telah dijanjikan tempat yang tinggi di sisi Allah di saat sebelum kelahirannya lagi. Namun, bagaimana dengan kita yang masih belum tahu dimana kedudukan kita di sisi Allah. Apakah masih untuk angkuh dan sombong untuk beriman kepadaNYA?

Cintailah ALLAH kerana Dia mencintai kita, tunaikanlah perintah ALLAH kerana Dia akan mengadili kita, buatlah sesuatu yang dituntut semata-mata kerana ALLAH sebab yang akan menilai setiap amal adalah ALLAH.

Anak

Pernah anda dengar?

“Seorang bapa yang menjaga 1000 ekor lembu lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan”
-Daripada Aisyah r.a

“ Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”
(Riwayat Bukhari)

Allah~ hebatnya kuasa seorang anak perempuan sehinggakan dapat membuka jalan kepada ibu bapanya ke syurga.

Tetapi bukan dengan sebagai anak perempuan yang biasa-biasa sahaja!

Anak perempuan yang SOLEHAH!!!

Ya! Anak perempuan yang taat pada perintah Allah, yang rindukan sunnah RasulNYA, yang kasihkan ibu bapanya dan yang sangat menitikberatkan soal maruah diri dan keluarganya.

Untuk menjadi seorang anak perempuan yang solehah bukan mudah tetapi lagi susah untuk menjaga seorang anak perempuan.

Bayangkan, setiap aurat yang didedahkan oleh anda sebagai anak perempuan akan ditanggung oleh seorang yang sangat anda sayangi iaitu ayah anda!

Tidakkah anda kasihan kepada si ayah?

Telah bertimbun-timbun jasa dan titik peluh yang dicurahkan, si ayah dibalas dengan dosa yang dilakukan oleh si anak perempuannya, maruah diri dan keluarga dijual begitu murah nilainya setelah berpenat lelah si ibu bapa menjaganya. Apakah anda sanggup dibalas sebegitu jika anda memiliki anak perempuan kelak?

Sesungguhnya, dosa itu memang tidak bisa dilihat tetapi kesannya bisa merubah diri jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah .

Taatilah ibu ayah anda selagi mana diri masih berkudrat untuk melaksanakannya dan selagi mana ia tidak melanggar syari’at Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak ada ketaatan kepada siapa pun dalam maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara yang baik menurut syariat.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
(Riwayat Al Hakim)

Isteri

Daripada Ummu Salamah r.a katanya, sabda Rasulullah SAW, “Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadapnya nescaya dia akan masuk ke syurga”.
(Riwayat Tirmizi)

Tujuan utama perkahwinan adalah untuk saling memberi. Si suami memberi keredhaan dan si isteri memberi ketaatan. Maka, akan tercapailah keredhaan dari si suami yang bakal menjadi kunci kepada si isteri untuk memasuki syurga.

Main point disini adalah, berusahalah untuk mencari keredhaan suami apabila anda telah bergelar isteri.

Setiap perkara yang hendak dilakukan mestilah mendapatkan keredhaan dan persetujuan suami terlebih dahulu hatta untuk berpuasa sunat sekali pun.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Sekiranya boleh aku menyuruh seorang sujud kepada seorang nescaya akan aku suruh kaum wanita (isteri) supaya sujud kepada suami mereka”.
(Riwayat Tirmizi)

Betapa pentingnya si isteri untuk memberi kepatuhan kepada suami tatkala hebatnya kepatuhan Siti hajar terhadap Nabi Ibrahim AS apabila diminta untuk ditinggalkan di padang pasir yang kering kontang bersama bayinya . Siti hajar dengan akur tanpa bantahan, diletakkan pengharapan sepenuhnya terhadap Allah kerana yakin akan hikmah disebalik suruhan Allah tersebut.

Sejarah Saidatina Khadijah , satu-satunya isteri Rasulullah sepanjang hayatnya tidak pernah dimadukan membuktikan betapa tingginya peranan seorang isteri dalam sesuatu perjuangan seorang da’ie.

Cinta agungnya kepada Allah. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi , rela susah senangnya sentiasa bersama si suami, Kekasih Allah. Kepercayaan tulus diberikan kepada Rasulullah disaat semua orang mendustakan baginda, beriman kepada Rasulullah tatkala semua orang ingkar kepada baginda dan daripada diri wanita suci ini lahirnya keturunan baginda SAW.

Betapa mulianya Saidatina Khadijah sehinggakan terpilih untuk melahirkan keturunan dari seorang insan yang Allah muliakan.

Betapa hebatnya inspirasi dan dorongan yang diberikannya sehinggakan kewafatannya ditangisi baginda.

Begitulah hebatnya peranan seorang wanita solehah disebalik perjuangan seorang lelaki bernama suami. Inspirasi dan dorongan yang diberi bakal merubah si suami menjadi seorang yang hebat dalam perjuangan.

Ibu

“Setiap anak yang dilahirkan di atas fitrah hingga ia fasih ( berbicara )maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”
(Riwayat Al Baihaqi dan At Tabrani)

Teladan dan didikan yang baik dari seorang ibu sangat penting dalam mencorakkan generasi yang cintakan Islam, mempunyai hammasah yang istiqamah dalam menegakkan Islam dan sanggup memperjuangkan Islam.

Sejarah tercipta :

‘Konstantinopel itu akan jatuh di tangan tentera Islam. Pemimpinnya adalah sebaik-baik pemimpin. Dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.’
(Riwayat Ahmad)

Yakin dengan kebenaran hadis ini, saban hari ibu Muhammad Al Fateh mendukungnya ke tempat yang tinggi untuk menghadap Kota Konstantinopel dan kemudiannya membacakan,

‘Engkau anakku sebaik-baik pemimpin’

Malah, bukan itu sahaja pengorbanan yang dilakukan oleh si ibu, bahkan dengan tegasnya telah mendidik Muhammad Al Fateh sedari kecil sehingga mampu bertutur 6 bahasa di kala mencapai usia 17 tahun.

Pernah anda mengetahui bahawa, walau sehebat dna sewarak mana pun si ayah tetapi tidkak pada si ibunya, maka, belum tentu si anak itu dapat dididik dengan nilai Islam. Kerana betapa kuatnya pengaruh dan peranan si ibu dalam membentuk tarbiyyah yang baik untuk si anak.

Misalannya, betapa manjanya pun si anak dengan si ayahnya, namun, apabila mahukan sesuatu atau berhajatkan pandangan orang tua, maka kepada si ibu juga yang dicarinya.

“Ibu, mana stoking adik?”

“Mama, mana mama letak tudung kakak tu?”

“Ummi, along nak warna tema putih untuk walimah nanti , sesuai tak?”

Alih-alih, si ibu juga yang dicari. Lihat!

Jadi, tidak hairan lah, nasihat si ibu sebenarnya lebih mujarab daripada kata-kata si ayah.

Justeru, andai si ibu mempunyai thaqafah dan didikan yang baik maka akan terbentuklah generasi yang baik dan menyumbang kepada ummah.


Ahli masyarakat

Dikala zaman dahulu, wanita seringkali dikaitkan dengan dapur.

“Alah, belajar tinggi mana pun kalau dah dinamakan perempuan itu, ke ceruk dapur juga akhirnya”.

Satu ungkapan yang sangat popular dalam kalangan masyarakat dahulu hatta masih segelintir di zaman ini.

Betulkah?

Ya, mungkin betul. Tetapi harus diingatkan juga bahawa wanita itu juga punya peranan dalam masyarakat. Lihat sahaja andai si isteri yang mahu melahirkan, tentu anda si suami mahukan doktor perempuan yang menguruskannya bukan?

Setiap masalah dan penyakit berkaitan dengan wanita, seorang wanita itu mestilah lebih terbuka dan tidak segan andai yang dijumpainya adalah doktor yang juga seorang wanita. Ini kerana ia adalah jantina yang sama!

Oleh itu, janganlah menanggap bahawa jika anda seorang wanita, hanya perlu duduk di rumah sahaja tanpa masuk ke lapangan masyarakat.

Masyarakat juga perlukan anda!

Begitu juga dalam soal berdakwah. Lihat sekarang sudah berapa banyak wanita yang menceburi dunia teknologi dengan berblogging, bervlogging, penulisan buku dan tidak kurang juga yang turun berkongsi pengalaman dan ilmu kepada masyarakat dengan mendekatkan item-item Islam.

Profesor Dr. Muhaya, seorang pakar mata disamping pengajar kepada bakal-bakal yang memperjuangkan bidang kedoktoran kelak, tidak pernah lupa pada tanggungjawab beliau sebagai anak, isteri dan juga ibu. Beliau juga aktif dalam penulisan dan tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu melalui media dan sebagainya.

Justeru, gunakanlah kelebihan-kelebihan yang dimiliki untuk menyumbang kepada masyarakat dan Islam. Baik anda memiliki kelebihan dalam dunia media mahupun komunikasi yang berkesan. Jangan simpan kelebihan anda itu kerana itu adalah amanah dari Allah untuk disumbangkan kepada orang sekeliling demi ISLAM.

Allah~ Allah~Allah

Terlalu banyak peranan wanita yang mungkin tidak akan habis untuk disenaraikan. Lihat, betapa hebatnya dan istimewanya wanita yang diciptakan Allah.

Berusahalah untuk menjadi wanita yang diredhai Allah dan RasulNya, wanita yang dibanggai ibu bapanya, wanita yang disenangi suaminya, wanita yang disayangi anak-anaknya dan wanita yang diingati di hati masyarakat dan Islam diatas jasa-jasanya.

Seperti mana hebatnya sahabiah dizaman Rasulullah SAW, Khaulah Al Azwar yang turun ke medan peperangan demi menegakkan Islam.

Seperti mana hebatnya saidatina Fatimah r.a, puteri Rasulullah yang sangat disayangi baginda, yang sangat dikasihi suaminya, Saidina Ali.


Wahai muslimah,

Tetapkanlah hatimu pada Allah,

Agar tidak bisa runtuh di saat musibah menimpa.

Tetapkanlah jiwamu pada sunnah Rasulullah,

Agar dirimu tidak mudah hanyut lekanya duniawi.

Tetapkanlah patuhmu terhadap iba bapamu,

Agar aman hidupmu dunia akhirat.

Tetapkanlah setiamu pada suamimu,

Agar engkau bisa beroleh kunci syurgamu darinya.

Tetapkanlah kelembutanmu dalam ketegasan pada anakmu,

Agar ia bisa membentuk generasi yang mampu memperjuangkan Islam.

Tetapkanlah seluruh jasad dan ragamu untuk ISLAM,

Agar dari situ terlahirnya wanita-wanita yang hebat dalam perjuangan agama ALLAH!



Ayuh!

Mainkan peranan anda untuk kembalikan kehebatan wanita-wanita dizaman Rasulullah suatu masa dahulu!

..............................................................


“Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah dia berilmu."

(Imam As-Syafi’e)






[H.H]
Fustateleven ®

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

1 comment:

  1. nak beritahu sikit.. kalau boleh,adjut balik part yang di highlight tu.. tak boleh baca la..

    ReplyDelete

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers