[FE] The Battle of Ain Jaloot

in

Bismillahirrahmanirrahim..

“Dari Abdullah bin 'Amr RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat.”

(HR Bukhari)


Tadabbur kekuatan umat islam pada bulan ramadhan

Menghayati sejarah kekuatan umat islam pada bulan ramadhan, kisah peperangan yang biasa kita dengar ialah peperangan badar, tabuk, pada zaman Nabi SAW, tetapi ramai yang tidak tahu kisah peperangan paling penting dalam sejarah iaitu peperangan antara muslim dan tentera monggol yang boleh saya simpulkan sebagai rahmat dari Allah, kerana kalau bukan peperangan itu yang orang islam menangi, tentera monggol akan menguasai dunia!

DAN SEMESTINYA PEPERANGAN YANG PENTING INI BERLAKU PADA BULAN RAMADHAN,

IAITU TANGGAL 25 RAMADHAN 685 H.

Sudah semestinya keletihan berpuasa bukan satu halangan untuk orang mukmin berperang atas jalan Allah, kerana ajaran islam dan pedoman dari Nabi, orang islam bukan berperang atas dasar kekuatan fizikal semata-mata, sebagaimana orang kafir berperang, tapi orang islam berperang atas kekuatan iman dan kekuatan dalaman, dimana kekuatan ini diasuh dan dipupuk pada bulan ramadhan.

Untuk menghayati kisah peperangan ini, mari kita baca kisah peperangan ini dengan terperinci.


PEPERANGAN AIN JALOOT


Peperangan ini berlaku antara tentera monggol (Tatar) yang diketuai oleh Kitbuqan Noyan ( Katabgha) dan tentera mamalik muslim daripada mesir yang diketuai oleh sultan saifuddin al qutuz, juga seorang pemerintah di negeri mesir pada waktu itu.



Peperangan ini berlaku pada 25 ramadhan, 685 hijrah, di satu tempat di palestin bernama ain jaloot, yang menyaksikan tentera mamalik daripada mesir yang bergabung dengan tentera daripada Syria dan palestin untuk menentang tentera monggol (Tatar) , dimana tentera monggol pada waktu itu gilakan darah umat islam setelah menyerang Baghdad sebanyak 3 siri, antaranya diketuai oleh Gengis Khan, dan akhirnya Baghdad yang menjadi ibu kota kerajaan Abbasiyah pada waktu itu jatuh pada tangan Tatar pada tahun 656 H.



KERAJAAN ISLAM TUNDUK PADA TATAR


Kejatuhan Baghdad kepada Tatar telah menyaksikan perpecahan umat islam , kelemahan dan penyakit al-wahn dalam diri umat islam dan pemimpin islam ketika itu, dengan menghulurkan perjanjian perdamaian dan membuka laluan kepada Tatar untuk menguasai negeri-negeri islam yang tidak patuh pada Tatar. Raja-raja itu telah membuka Iraq Utara, sebahagian Syam dan Turki kepada Tatar tanpa peperangan. Satu penyakit yang kita masih lihat hingga ke hari ini, kepatuhan pemimpin dunia islam masa kini pada kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutunya.


Hampir kesemua kerajaan islam tunduk pada Tatar sehinggakan Ibnu al-Athir di dalam kitabnya al-Kamil meriwayatkan beberapa cerita yang didengarinya daripada sebahagian umat Islam. Di antaranya:

a. Seorang tentera Tatar masuk ke dalam sebuah perkampungan seorang diri. Kemudian dia membunuh penduduk kampung tersebut seorang demi seorang tanpa mendapat tentangan dari sesiapa pun.

b. Seorang tentera Tatar menangkap seorang muslim. Oleh kerana tentera Tatar tersebut tidak bersenjata, dia telah mengarahkan pemuda muslim tadi agar melekapkan mukanya ke tanah dan tidak bergerak. Tentera Tatar tersebut pulang mengambil senjata dan kemudian datang kembali lalu membunuh pemuda tersebut.

c. Tentera Tatar memasuki bandar Badlis (sekarang berada di selatan Turki). Laluan ke bandar tersebut adalah laluan di celah-celah bukit yang sungguh sempit. Tidak ada seorang pun tentera Islam yang berjaya melepaskan diri dari serangan Tatar di bandar tersebut. Penduduk bandar tersebut pula melarikan diri ke atas bukit dan membiarkan Tatar membakar keseluruhan bandar tersebut.


Setelah kejatuhan negeri syam, dan hampir keseluruhan Negara islam , kegilaan Tatar semakin parah, mereka ingin menguasai benua afrika dan utara syam.

Dan pada itulah Mesir keluar dengan pendirian mereka yang dianggap “heroic action” iaitu, mereka tidak akan sesekali membenarkan Tatar menguasai Negara islam mesir!


KEBIJAKSANAAN SAIFUDDIN AL QUTUZ


Sultan saifuddin al qutuz baru sahaja dilantik menjadi pemerintah pada waktu itu, dengan kekalutan politik antara zaman mamalik bahriah dengan mamalik muizziah, sokongan rakyat pada waktu itu berbelah bahagi, dan masalah ekonomi yang meliputi negeri mesir pada waktu itu makin meyusahkan misi mereka untuk menentang Tatar, sehinggakan saifuddin al qutuz memanggil ulama yang disegani pada waktu itu untuk mengeluarkan fatwa yang mengejutkan semua pihak untuk membantu memulihkan ekonomi umat islam, iaitu


“Apabila negara Islam diserang, wajib ke atas dunia Islam untuk memerangi musuh. Harus diambil dari rakyat jelata harta mereka untuk membantu peperangan dengan syarat tidak ada harta langsung di dalam Baitul Mal. Setiap kamu (pihak pemerintah) pula hendaklah menjual semua yang kamu miliki dan tinggalkan untuk diri kamu hanya kuda dan senjata. Kamu dan rakyat jelata adalah sama di dalam masalah ini. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pimpinan tentera memiliki harta dan peralatan mewah, maka ianya adalah tidak harus.”

Jelas disini peranan ulama dalam Negara, bagaimana keadilan seruan yang dikeluarkan bukan sahaja ditujukan kepada rakyat semata-mata, malahan kepada pemerintah. Kalau seruan berjimat-cermat ditujukan kepada rakyat, ia harus juga diambil berat dan diamalkan oleh pemerintah, menunjukkan kebersamaan menyelesaikan masalah Negara.


TIBA HARI PEPERANGAN


Setelah segala persediaan diambil, Saifuddin al Qutuz mengetuai bala tentera untuk bergerak ke satu tempat dan bukan bertahan dalam kota kaherah, atas beberapa sebab.


Tanggal Sya’ban 658 H. Ia bersamaan bulan Julai 1260 M tentera islam bergerak ke al quds, dan akka, palestin, dan seterusnya ke ain jaloot iaitu lokasi pertempuran.

Pergerakan tentera islam pada waktu itu bersamaan dengan musim panas dan bulan bagi umat islam berpuasa, tetapi tidak mematahkan semangat umat islam pada waktu itu.


PEPERANGAN KEIMANAN


Fajar menyinsing tiba. Hari yang dinantikan oleh tentera Islam dan muslimin yang bersama dengan mereka sudah menjelma. Hari itu adalah hari Jumaat 25 Ramadhan 658 H. Tentera Tatar di bawah pimpinan Katabgha tiba dari arah utara. Tentera Islam bersembunyi di sebalik pokok-pokok. Pasukan kecil di bawah Baibras yang pada asalnya berjaga di sebelah utara dan menzahirkan diri juga menyembunyikan diri mereka ketika tentera Tatar tiba.


Qutuz memberikan arahan agar tentera Islam keluar menzahirkan diri secara berperingkat, satu katibah demi satu katibah.

Ketika katibah pertama turun dari bukit dan menghampiri tentera Tatar, Katabgha dan tentera Tatar menjerit ketakutan. Katibah ini turun dengan memakai pakaian berbelang putih dan merah. Keseluruhan peralatan senjata mereka dihias cantik. Mereka turun dalam keadaan tersusun. Pergerakan mereka sama dan seimbang.

Peperangan sudah semakin hampir.



Serangan Pertama: Bermula Peperangan
Bermulalah pertempuran. Katabgha yang menyangka bahawa pasukan yang kecil itu (katibah) adalah keseluruhan tentera Islam telah mengarahkan keseluruhan tenteranya untuk masuk ke medan pertempuran. Mereka menyerbu masuk dengan jerit pekik yang kuat..

Pedang bertemu pedang, gendang dipalu bertambah kuat berselang seli memberikan arahan dengan takbir dari petani-petani yang berada di atas bukit. Darah mula mengalir. Satu demi satu nyawa melayang..

Qutuz dan baki tentera masih lagi menanti di sebalik tempat persembunyian mereka menyaksikan peperangan tersebut dan menunggu waktu sesuai untuk masuk ke serangan kedua.


Serangan Kedua: Mengepung Tentera Tatar


Masanya sudah tiba untuk Qutuz memberikan arahan baru. Arahan seterusnya adalah agar Baibras (ketua katibah-katibah) dan tenteranya berundur secara seimbang dan berpura-pura lemah. Taktik ini digunakan untuk menarik tentera Tatar yang sudah keletihan masuk ke tengah-tengah medan peperangan dan mengepung mereka di situ. Sebagaimana yang kita ketahui medan Ain Jalut berbukit di seluruh kawasannya kecuali di bahagian utara. Kepungan itu agak mudah untuk dilakukan jika sekiranya Baibras berjaya menarik tentera Tatar ke tengah medan.


Qutuz memberikan arahan kepada pasukan gendang untuk memberikan arahan baru ini. Baibras memahami rentak gendang tersebut. Tanpa berlengah dia dan tenteranya mula berundur ke belakang sedkiit demi sedikit dengan penuh hati-hati. Mereka berpura-pura menzahirkan keletihan dan kelemahan mereka.



Katabgha tertipu. Dia mengarahkan seluruh tenteranya untuk masuk ke dalam medan perang tanpa menyedari taktik tersebut.

Taktik ini berjaya. Tentera Tatar telah berada dalam kepungan. Pada ketika baki tentera Islam muncul, Katabgha menyedari kesilapannya. Di sini tidak ada jalan lain bagi mereka kecuali terus berperang mati-matian. Mereka nampak kematian semakin menghampiri mereka.



Serangan Ketiga:
Katabgha memberikan arahan agar semua tenteranya berjuang mati-matian. Mereka seolah-olah mengamuk dan mengasak tentera Islam. Qutuz yang melihat dari atas bukit merasai kesukaran yang dihadapi oleh tentera Islam. Langkah yang diambil oleh beliau amat menakjubkan. Beliau mencampakkan topi besinya lalu melaungkan ‘wa Islaaamah’. Laungan ini diucapkan oleh beliau sambil beliau turun ke medan perang dengan menunggang kudanya. Langkah ini diambil oleh Qutuz untuk menaikkan semangat tentera Islam.

Tentera Tatar terperanjat dengan kehadiran Qutuz di tengah-tengah medan perang. Qutuz memerangi mereka dengan penuh semangat seolah-olah beliau tidak langsung sayangkan nyawanya. Beberapa libasan pedang dan tombak hampir menemui beliau. Kudanya berjaya ditikam mati oleh tentera Tatar menyebabkan beliau terjatuh. Pun begitu beliau meneruskan jihadnya dengan berjalan kaki sehinggalah beliau berjaya mendapatkan kuda bantuan.

Tentera Islam bertambah semangat dengan turunnya Qutuz ke medan perang.



Kematian Katabgha


Dibunuh oleh Jamaludin Aqusy as-Syams. Beliau adalah salah seorang panglima perang Mamalik. Pernah berada di bawah Raja Nasir al-Ayyubi. Kemudian beliau meninggalkannya setelah melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh Raja Nasir al-Ayyubi.


Beliau merempuh tentera Tatar sehingga berjaya masuk ke tengah-tengah tentera tersebut. Di situ beliau melihat Katabgha. Jamaluddin tidak menunggu lama. Beliau mengumpulkan seluruh tenaganya dan melibas pedangnya ke arah leher Katabgha. Kepala Katabgha berpisah dari badan dan tercampak ke tengah medan perang di hadapan tentera Tatar.

Ketakutan makin meningkat melihat kematian Katabgha di hadapan mata mereka. Tentera Tatar mula melarikan diri melalui bahagian utara Ain Jalut. Tentera Islam mengejar mereka.



Pertembungan Akhir di Bisan dan Berakhirnya Kekuatan Tatar


Tentera Tatar berjaya memecahkan kepungan tentera Islam. Mereka melarikan diri sejauh 20 kilometer dan berhenti di Bisan. Tentera Islam terus mengejar mereka.


Berlaku pertembungan yang lebih sengit. Kali ini tentera Tatar benar-benar menggila untuk memastikan mereka terus hidup. Qutuz berada di tengah-tengah medan peperangan memberikan semangat kepada tentera Islam. Beliau melaungkan: “Wa Islaamah. Wa Islaamah. Wa Islaamah. Ya Allah bantulah hambamu, Qutuz untuk menghancurkan Tatar.”


Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Mereka berjaya menamatkan mitos bahawa Tatar tidak akan dikalahkan bila-bila.

Medan peperangan kembali sunyi. Tidak ada lagi bunyi gendang. Tidak ada lagi jeritan Tatar. Mayat-mayat tentera Tatar mati bergelimpangan dalam bentuk yang mengerikan. Qutuz berjalan di tengah medan perang yang sudah sunyi melihat hasil peperangan selama sehari di bulan Ramadhan.


"Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah dia berilmu."
(Imam As-Syafie)


[Zhelas]
Fustateleven®


Baca lebih di http://dakwah.info/utama/ini-sejarah-kita/peperangan-ain-jalut/ http://neverfeltbetter.wordpress.com/2010/10/10/nfbs-decisive-battles-of-the-world-ain-jalut/ http://en.wikipedia.org/wiki/Battle_of_Ain_Jalut

GEN11US is the 11th generation of Malaysian medical students at Kasr El-Ainy School of Medicine, Cairo University in Egypt.

0 comments:

Suggestion Box:

Name

Email *

Message *

Followers